mutakhir

Penangan Kenali Murtabak

Oleh Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Sebut saja bazar Ramadan, orang ramai tentu terbayang juadah enak dan hidangan wajib yang dibawa pulang antaranya murtabak.

Kenali Murtabak, namanya sinonim dengan penduduk di Putrajaya kerana antara pelopor juadah berbuka puasa itu di Bazar Ramadan Putrajaya.

Wan Shahrol Akhbar Wan Salim, 31, berkata, dia antara peniaga yang lama bertapak dengan menjual murtabak sejak 12 tahun lalu iaitu pada awal penubuhan bazar Ramadan di Putrajaya.

“Alhamdulillah, Kenali Murtabak popular dalam kalangan penduduk di sini dan menjadi menu pilihan mereka untuk berbuka puasa setiap kali menjelang Ramadan.

“Kualiti dan kelainan yang ada pada Kenali Murtabak ini membuatkan ia berbeza daripada murtabak lain, sekali gus menjadikan ia antara juadah utama penduduk di sini,” katanya.

Katanya, Kenali Murtabak menawarkan harga berpatutan iaitu RM3 bagi ayam dan daging,malah saiz tidak terlalu kecil berbanding murtabak yang lain.

“Faktor utama Kenali Murtabak menjadi pilihan kerana setiap telur yang digunakan dibasuh dengan bersih menggunakan tangan dan bukan hanya jirus saja.

“Selain itu, saya mempunyai resipi turun temurun daripada arwah nenek dengan menggunakan ramuan rempah yang sedikit berbeza daripada peniaga lain,” katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2016 @ 10:10am
d