mutakhir

Pengeluar pewangi rambut mohon maaf

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Selepas gambar seorang wanita bertudung bertatu di muka bersama bekas gangster Singapura bertatu yang dikenali Abang Long Fadhil menjadi viral, sebuah syarikat tampil memohon maaf dan menjelaskan insiden berkenaan.

Pengurus Operasi Red Olivia Sdn Bhd Abdul Azeem Abdul Rahim ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia tidak menyangka tindakan itu menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini walaupun mesej yang cuba disampaikan adalah berniat baik.

“Sebagai pengeluar produk minyak pewangi rambut khusus untuk wanita bertudung, awalnya tujuan gambar berkenaan adalah untuk menyampaikan mesej jangan menilai seseorang daripada luaran.

“Jadi kami gunakan khidmat bekas gangster Singapura, Muhd Fadhil Husin, 29, atau diberi gelaran Abang Long Fadhil sebagai model produk untuk memberi gambaran walaupun luarannya bertatu, dalamannya (iman) berbeza di samping menggunakan seorang lagi model wanita bertudung tetapi disolek seolah-olah dia juga bertatu,” katanya.

Baru-baru ini, gambar seorang wanita bertudung bertatu di wajah bersama Muhd Fadhil menjadi viral sehingga kedua-dua mereka teruk dikecam netizan yang menganggap perbuatan itu merosakkan kesucian Islam.

Malah, ada yang mempersoalkan tujuan kedua-dua mereka berbuat demikian yang seolah-olah membanggakan tatu sedangkan ia diharamkan di dalam Islam.

Disiarkan pada: June 14, 2016 @ 10:22am
d