mutakhir

Rasai kegigihan arwah bapa bekerja

Oleh myMetro

Kuala Kangsar: “Secara jujur, saya akui dapat merasai sendiri kesukaran arwah papa bekerja dulu.

“Saya sendiri hanya tidur empat jam sebelum menghadiri pelbagai program kempen untuk mama sejak awal pagi hingga tengah malam,” kata Wan Emir Astar, 26, anak sulung calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid.

Menurutnya, sebelum ini, dia hanya berada di sisi bapanya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad bertemu rakyat melalui program diadakan.

Bagaimanapun, katanya, kini dia sendiri berkesempatan membantu kempen ibunya dan peluang itu digunakan untuk merasai sendiri kegigihan arwah bapanya bekerja dulu.

Menurutnya, sebagai anak sulung, dia akan cuba berkempen sebaik mungkin dan memenuhi jadual ditetapkan BN bagi mewakili ibunya.

“Saya memang teruja, bersemangat dan gembira kerana setakat ini, semuanya berjalan lancar dengan bantuan jentera baik di Kuala Kangsar mahupun jentera luar.

“Kami sekeluarga cukup menghargainya,” katanya ditemui ketika membantu kempen ibunya, kelmarin.

Wan Emir Astar berkata, dia dan tiga adiknya, Wan Imar Izzat, Wan Iskandar dan Wan Muhammad Amar akan terus turun padang sehingga hari terakhir berkempen, Jumaat ini.

“Penat itu adalah juga tapi dulu pun pernah tengok arwah papa. Jadi tak rasa janggal sangat, cuma hari ini, saya betul-betul buat apa yang papa buat dulu,” katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2016 @ 7:41am
d