mutakhir

MyRumah jengah Johor Bahru

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dengan kerjasama Andaman Property Management Sdn Bhd (Kumpulan Andaman) akan mengadakan siri kedua Pameran Hartanah MyRumah di Johor Bahru.

Pengarah Urusan Andaman Group, Datuk Seri Dr Vincent Tiew berkata, pameran pertama yang diadakan pada Januari lalu mendapat sambutan luar biasa dan pihaknya akan menjadikan pameran MyRumah sebagai acara tahunan.

Katanya, MyRumah kali ini bakal menampilkan 23 pakar industri memberikan pandangan mengenai pasaran hartanah di Malaysia, tinjauan masa hadapan pasaran hartanah pada tahun ini selain pelbagai tip dan strategi melabur serta kewangan.

“Pameran MyRumah kali kedua ini diadakan di Pusat Konvensyen Johor Bahru (JBCC) pada 29 hingga 31 Julai depan bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

“Kami yakin pameran kali ini dapat menarik tumpuan orang ramai terutama mereka yang ingin mendapatkan maklumat secara terus mengenai hartanah dengan pakar industri,” katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Yushaimi Maulud Yahya.

Tiew berkata, buat masa ini acara tiga hari itu menampilkan lapan pempamer iaitu Meridian East, Komtar JBCC, Sharp, LG Electronics, UDA Land, Andaman, NSTP dan Takaful Ikhlas.

Menurutnya, sama seperti penganjuran pertama, MyRumah di JBCC turut menyasarkan hartanah yang berharga bawah RM500,000 dan pembeli yang berpotensi untuk melakukan pelaburan dalam hartanah.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan 20,000 pengunjung akan hadir ke MyRumah JBCC berbanding 10,000 pengunjung yang direkodkan pada pameran sebelumnya.

“Berdasarkan maklum balas menggalakkan diterima, kami merancang mengadakan dua lagi pameran MyRumah iaitu dengan lokasi di sekitar Selangor pada Oktober depan dan di NSTP Bangsar, pada Januari tahun depan,” katanya.

Tiew berkata, pihaknya menjangkakan Johor Bahru terutama projek pembangunan di Iskandar akan menjadi pilihan pembeli.

Disiarkan pada: June 15, 2016 @ 10:03am
d