mutakhir

Teguh berpegang prinsip

Oleh Muhamad Izzat Nasuruden

Ipoh: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yakin bekas Ketua UMNO bahagian Kuala Kangsar, Datuk Ramly Zahari akan terus berpegang kepada prinsip perjuangan parti dan tidak akan melakukan sebarang perbuatan merugikan UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Menteri Besar Perak itu berkata, dia yakin Ramly akan terus memberi kesetiaan tidak berbelah bahagi terhadap parti dan akan membantu memastikan calon BN memenangi PRK berkenaan kerana Ramly sudah lama berkecimpung dalam politik dan lebih arif mengenai prinsip parti kerana pernah berada di peringkat bahagian serta peringkat negeri sebelum ini.

“Setiap ahli parti yang memahami prinsip perjuangan UMNO tidak akan meletakkan perasaan peribadi mereka sebagai perkara utama tetapi akan mementingkan kekuatan dan kelangsungan parti dalam menghadapi pihak lawan.

“Namun, sebagai seorang manusia sememangnya kita mempunyai perasaan sedih, marah, kecewa dan terkilan, namun dalam konteks sebagai ahli parti, kita perlu berpegang teguh kepada prinsip perjuangan yang ditekankan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Juadah Raya Kepada Pasukan Keselamatan Sumbangan Kerajaan Negeri dan Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI), di sini, semalam.

Dalam majlis itu sebanyak 18,096 kotak juadah raya disumbangkan kepada 27 pasukan keselamatan dan pasukan beruniform negeri Perak sempena Aidilfitri tahun ini.

Antara penerima sumbangan itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PGM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), Jabatan Kesihatan, dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Zambry berkata, perkara utama yang perlu dilakukan oleh setiap ahli UMNO ketika ini adalah untuk bersama-sama membantu calon parti untuk memenangi PRK Kuala Kangsar

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Ramly yang terkilan dengan sikap dingin calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid terhadapnya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan Parti Amanah Nasional (PAN) yang mengatakan deklarasi rakyat berjaya menggugat kedudukan BN dalam PRK Kuala Kangsar, Zambry berkata, ia hanya propaganda pembangkang yang semakin lemah dan tidak mendapat sokongan rakyat setempat.

“Mereka (pembangkang) tidak mempunyai idea dan menggunakan propaganda itu untuk mengelirukan penduduk Kuala Kangsar.

“Namun hakikatnya penduduk setempat memberitahu kepada saya bahawa mereka keliru dengan dominasi DAP yang banyak menggerakkan PAN,” katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2016 @ 7:21am
d