mutakhir

Usah lagi tertipu!

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Kangsar: “Saya merayu kepada masyarakat, tolong jangan lagi tertipu dengan agensi pelancongan mengaut keuntungan besar,” kata Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, beliau sedih ramai orang Islam yang mengumpul duit bertahun-tahun menunaikan umrah, tetapi terpedaya dengan tawaran murah.

“Saya ingin tegaskan mana-mana agensi yang menawarkan harga bawah RM4,900, semua tipu,” katanya pada Program Interaktif Seni Kraftangan dan Kempen Kesedaran Umrah/Ziarah 2016, di sini, kelmarin.

Menurutnya, setiap tahun ada peningkatan dalam laporan yang diterima kementeriannya dan langkah bersepadu diambil bersama beberapa agensi kerajaan.

Katanya, antara kes dilaporkan ialah kegagalan agensi pelancongan mendapatkan visa umrah, tiada tiket penerbangan, pembatalan dan penangguhan serta pelanggaran terma dan syarat.

“Ia membabitkan kegagalan syarikat memenuhi janji kepada jemaah seperti perubahan tempat penginapan, perbezaan jarak hotel ke masjid, pengurangan bilangan hari dan tiada wakil syarikat membantu jemaah,” katanya.

Menurutnya, pada 2012, 90,000 jemaah umrah dari Malaysia direkodkan manakala 220,000 pula direkodkan tahun lalu.

Katanya, sehingga April lalu, kira-kira 208,106 visa umrah dikeluarkan kepada jemaah Malaysia.

“Sejak 2012 hingga Mei lalu, 61 kes penipuan dilaporkan kepada kementerian membabitkan kompaun RM293,000 dikenakan kepada syarikat yang melakukan kesalahan.

“Lesen 11 syarikat ditarik balik dan satu syarikat ditarik lesen bidang outbound. Rekod KPDNKK menunjukkan 3,418 kes difailkan dengan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TPPM) dengan nilai ganti rugi RM20,863,187.

“Rekod polis juga mencatatkan 126 kes dengan nilai denda RM5,904,411. Ini satu jumlah yang tinggi,” katanya.

Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi hotline 019-2741671/1674.

Disiarkan pada: June 16, 2016 @ 7:53am
d