mutakhir

Janggal tanpa ayah

Oleh Nor Shafinaz Sari

Melaka: “Ramadan tahun ini amat janggal bagi saya kerana sebelum ini arwah bapa yang membacakan doa berbuka manakala saya mengaminkannya.

“Tahun ini saya perlu baca doa sendiri selepas ayah pergi meninggalkan kami,” kata Amirul Hakimi Husin, 8.

Murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Tedong itu mengaku terkesan dan rindu arwah bapanya, Husin Jantan, 37, yang meninggal dunia sebulan sebelum Ramadan selepas terbabit nahas jalan raya.

Katanya, tahun lalu dia berbuka bersama ibu, Rasitah Kassim, 36, adik, Muhammad Khalish Firash Husin, 2, nenek, Mun Puteh, 75, serta arwah bapanya.

“Bukan saya seorang sedih dengan pemergian ayah, sebaliknya Muhammad Khalish Firash paling terkesan apabila dia meminta ibu membawanya melawat pusara arwah hampir setiap hari untuk melepaskan rindu.

“Saya juga rindukan arwah, lebih lagi dia pergi ketika Ramadan hampir tiba.

“Kini saya kerap terkenang pelbagai aktiviti kami lakukan bersama ketika ibadah puasa,” katanya pada Program Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim Dewan Undangan Negeri Serkam, di sini, kelmarin.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Serkam Datuk Zaidi Atan.

Sementara itu, Zaidi berkata, aktiviti berkenaan program tahunan DUN Serkam bertujuan membantu menceriakan dan meraikan mereka yang kurang bernasib baik.

“Seramai 30 anak yatim dalam DUN Serkam yang terpilih diraikan dengan pelbagai juadah berbuka puasa dan menerima sumbangan duit raya.

“Majlis ini dijayakan dengan kerjasama Hotel Sentral yang mahu bersama-sama meraikan anak yatim,” katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2016 @ 7:55am
d