mutakhir

'Tanpa dia'

Oleh Norzamira Che Noh

Banting: “Setiap kali menjelang hari raya, arwah orang yang paling bersemangat menyediakan kelengkapan namun situasi itu tidak lagi dapat dirasai selepas kehilangannya,” kata Noraini Kassim, 55.

Noraini adalah balu kepada bekas Ketua Unit Grafik Berita Harian (BH) Mohd Zohri Sukimi, 57, atau lebih dikenali sebagai Zoy yang meninggal dunia 5 Mei lalu akibat komplikasi pelbagai penyakit.

Menurutnya, arwah akan membuat persiapan awal termasuk duit raya untuk kanak-kanak yang datang beraya setiap tahun.

“Arwah memang begitu, walau Ramadan belum bermula, dia akan menyediakan kelengkapan terutama duit raya selain mengajak saya membeli kuih serta biskut raya untuk menjamurakannya pada hari raya.

“Bagaimanapun, tahun ini arwah tidak mahu menempah baju raya seperti tahun sebelumnya dan saya tidak menyangka kami sekeluarga menyambut puasa dan raya tanpanya,” katanya ketika ditemui di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang di sini, semalam.

Noraini juga menyifatkan suaminya itu sebagai seorang yang ceria dan sering membuat orang sekelilingnya gembira.

Sementara itu, Noraini yang dikunjungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerima cek faedah yang disampaikan Timbalan Pengarah PERKESO Selangor, Tong Sing Chuang.

Turut hadir menziarahi keluarga arwah semalam adalah Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrulhisham Othman serta Pengurus Besar Faedah PERKESO, Ismail Abi Hashim.

Zoy terkenal dengan komik bersiri bertajuk Si Takluk Jagat Lawan Si Sapu Angin, ilustrasi yang berlatarbelakangkan persilatan terbitan setiap Ahad.

Beliau meninggalkan seorang isteri dan empat anak.

Disiarkan pada: June 16, 2016 @ 8:06am
d