mutakhir

Jutawan syabu RM100 juta

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang dikenal pasti sebagai ‘jutawan syabu’ ditahan kerana memiliki 250 kilogram cecair dan kristal syabu bernilai hampir RM100 juta.

Lelaki berasal dari Taman Muda Shah Alam, Selangor itu ditahan bersama tujuh individu lain yang dikesan menjalankan kegiatan makmal syabu di Behrang, Perak.

Suspek dikesan menjadikan kontena sebagai markas untuk memasak, memproses dan membungkus syabu di dalam plastik.

Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar susulan kejayaan Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman memberkas semua suspek dan menemui semua syabu berkenaan, semalam.

Difahamkan dua daripada suspek warga Iran yang ditahan di ibu kota turut mendalangi kegiatan jenayah itu.

Sumber berkata, hasil pemeriksaan di dalam kontena itu menemui beberapa tong biru, kotak, dapur elektrik, alat penimbang elektronik dan kristal syabu.

“Malah, ada antara syabu itu dipercayai baru dimasak dan cuba dikeringkan penjenayah di atas deretan kertas putih.

“Selain itu, anggota polis menemui bungkusan dadah syabu yang siap dibungkus dan dimasukkan ke dalam beg hitam,” katanya.

Menurutnya, harga sekilogram syabu antara RM200,000 hingga RM400,000 di Malaysia dan boleh mencecah sehingga RM800,000 di Indonesia.

“Namun, harga syabu boleh mencecah sehingga RM3 juta sekilogram di Australia, New Zealand dan Jepun. Polis masih menyiasat sama ada semua dadah itu untuk pasaran tempatan atau antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui laman Twitter miliknya mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan STING itu.

Disiarkan pada: June 16, 2016 @ 10:22am
d