mutakhir

Diberi layanan baik dalam tahanan

Johor Bahru: “Syukur kerana sepanjang dalam tahanan, kami diberikan layanan baik termasuk dibenarkan bersukan,” kata Ahmad Nadzhan Mohd Nadzri, 21, seorang daripada dua nelayan Malaysia yang dibebaskan pihak berkuasa Indonesia, semalam.

Ahmad Nadzhan bersama Mohammad Suria Rahman, 21, selaku tekong bot bersama tiga lagi nelayan Malaysia sebelum ini ditahan Polis Air Indonesia kerana menceroboh perairan negara itu pada 4 Mei lalu.

Menurutnya, keperluan mereka dijaga sebaiknya termasuk makan minum dan tempat tinggal yang selesa serta layanan mesra pihak berkuasa republik itu.

Menceritakan kembali detik mereka ditahan, Ahmad Nadzhan berkata, dia menjahit jala rosak sehingga tidak menyedari bot tunda kelas B dinaiki hanyut.

“Pada jam 10.45 malam, 4 Mei lalu, bot kami dihampiri kapal Polis Air Indonesia yang membunyikan siren dan menyatakan kami menceroboh perairan negara mereka,” katanya kepada pemberita di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), di sini.

Hadir sama Pengarah Maritim Wilayah Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan dan ahli keluarga kedua-dua nelayan berkenaan.

“Kami diberitahu mengenai pembebasan kami pada malam Selasa lalu oleh wakil kedutaan Malaysia.

“Alhamdulillah, dapat juga kami berpuasa dan menyambut hari raya bersama keluarga di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Suria berkata, mereka berasal dari Parit Mesjid, Pontian Kechil dan turun ke laut jam 7 pagi pada hari kejadian.

“Apa yang berlaku ke atas kami pengajaran tetapi ia tidak sedikit pun membuatkan kami serik turun ke laut untuk mencari rezeki,” katanya.

Mereka yang diberikan pengampunan atas kesalahan menceroboh perairan Indonesia tiba di Jeti Tanjung Pengelih, Pengerang, Kota Tinggi pada jam 2.30 petang, semalam.

Sementara itu, Adon berkata, kedua-dua nelayan terbabit dilepaskan dari Pulau Batam, Indonesia bersama bot mereka sebelum aset APMM mengiringi di sempadan perairan antarabangsa.

“Kami bertuah kerana kerajaan begitu prihatin dengan nasib yang menimpa nelayan berkenaan dan mereka dilepaskan selepas mendapat pengampunan Presiden Indonesia Joko Widodo,” katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2016 @ 12:02pm
d