mutakhir

'Memang kita tak bayar pengganas'

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: “Wang RM12 juta bukan wang tebusan, tetapi disalurkan kepada badan tertentu yang sah di Filipina dan tidak terbabit dalam sebarang aktiviti haram termasuk penculikan,” tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditanya mengenai status wang RM12 juta yang dibayar bagi pembebasan empat rakyat Sarawak yang diculik kumpulan militan Abu Sayyaf di selatan Filipina.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga tidak pernah mengiktiraf kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan.

“Memang kita tidak membayar sebarang wang tebusan dan sejumlah RM12 juta yang diperoleh hasil derma sebanyak RM11 juta dan RM1 juta lagi hasil jualan hartanah keluarga mereka, itu diberikan kepada pihak polis bukan sebagai wang tebusan sebab kerajaan memutuskan tidak ada sebarang wang tebusan yang dibayar.

“Pihak polis mematuhi arahan itu, oleh yang demikian jika RM12 juta ini diserahkan kepada Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia (PDRM), ia adalah sebagai saluran (untuk diserahkan kepada badan berkenaan).

“Malah, saya mengesahkan ia bukan sebagai wang tebusan tetapi (disalurkan) kepada badan tertentu di Filipina untuk membantu perjuangan yang direstui mengikut perundangan dan perjuangan Islam bukan kerana tebusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Wakaf al-Quran Peringkat Kebangsaan 1437/2016 di sini, semalam.

Kelmarin, Ahmad Zahid menafikan kerajaan membayar wang tebusan untuk membebaskan empat rakyat Malaysia dan menegaskan tiada rundingan berkaitan pembayaran di antara polis Malaysia-Filipina dengan kumpulan penculik.

Muka depan Harian Metro semalam mendedahkan Pengerusi Malaysian Community Care Foundation (MCCF), Halim Ishak yang memainkan peranan utama dalam usaha pembebasan empat kelasi rakyat Malaysia yang diculik militan Abu Sayyaf sejak 1 April lalu.

Beliau dilaporkan berkata, sebelum ini mengambil inisiatif dengan perbelanjaan sendiri bertemu Pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Prof Nur Misuari bagi mendapatkan bantuan mengesan lokasi mangsa disembunyikan.

Usaha itu merintis laluan untuk membebaskan mangsa daripada kumpulan militan Abu Sayyaf dikenali sebagai ‘Lucky 9 Group’.

Mangsa, empat rakyat Malaysia iaitu Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Kang, 31, Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21, diculik dari kapal tunda MV Massive 6 oleh sekumpulan enam lelaki bersenjata di perairan Sabah pada 1 April lalu.

Mereka dibebaskan kumpulan Abu Sayyaf sebelum selamat tiba di Sandakan, Sabah, Rabu lalu.

Ahmad Zahid bagaimanapun, enggan menamakan badan berkenaan selain mengesahkan badan itu juga tiada kaitan dengan kumpulan penjenayah atau pengganas.

“Tidak, yang itu (badan yang terima wang itu) kami tidak boleh maklumkan kerana itu urusan pihak polis. Malah, pihak polis juga tidak menyimpan wang berkenaan dan ia sudah dihantar ke Filipina.

“Sama ada ia (badan berkenaan) kumpulan Islam atau sebaliknya, saya akan minta pihak polis memberi maklumat ini kepada orang ramai,” katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2016 @ 12:31pm
d