mutakhir

Ligat cari pelanggan

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Rantau Panjang: Pemandu van Thailand yang dikenali sebagai ‘roktu’ didapati ligat mencari pelanggan ketika Ramadan ini di sekitar bandar ini, sekali gus mengakibatkan pendapatan pemandu kereta sewa tempatan terjejas.

Ramadan ini, mereka (pemandu kereta sewa) mengharapkan dapat menambah pendapatan untuk bekalan menyambut Aidilfitri namun sebaliknya yang berlaku.

Roktu dikesan mula aktif mulai jam 5 petang, mengambil kesempatan ketika umat Islam sedang bersiap untuk berbuka puasa dan bertindak membawa penumpang hingga ke Lembah Klang, utara dan selatan tanah air.

Malah, tinjauan Harian Metro di bandar ini sejak tiga hari lalu mendapati lebih lima van Thailand masuk ke negara ini pada waktu petang dengan sarat penumpang dipercayai untuk dihantar ke negeri luar Kelantan.

Pemandu kereta sewa, Mohd Ghani Husin, 45, tidak menafikan pemandu roktu lebih aktif pada waktu petang ketika Ramadan ini kerana mereka memilih bergerak sebelah malam.

“Tindakan ini menjejaskan pendapatan kami kerana penumpang warga Thailand akan menunggu van mereka untuk bergerak ke kawasan lebih jauh.

“Mereka (warga Thailand) kurang menggunakan perkhidmatan kami kerana tahu van roktu ada dan selesa dengan bayaran pukal mengikut kepala,” katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2016 @ 5:30am
d