mutakhir

Jasad gelandangan ditemui di rumah kosong

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Seorang gelandangan ditemui mati di rumah kosong di Jalan Kemuja, Bangsar, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Yandi, 53, ditemui terbaring di lantai yang dipenuhi dengan botol arak dan sampah-sarap.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa tinggal sendirian.

“Kawasan rumah bersemak samun dan di sekitar mangsa terdapat sampah-sarap dan botol arak yang bertaburan.

“Mayat sudah berulat dan sukar melihat keadaan wajahnya,” katanya.

Menurutnya, anggota forensik yang membuat pemeriksaan memaklumkan tiada kesan cedera di badan mangsa.

“Tiada senjata dan tiada kad pengenalan ditemui di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.19 dan sepasukan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Pantai dikerahkan ke lokasi.

“Anggota ditugaskan mengangkat mayat dan diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke hospital,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Disiarkan pada: June 18, 2016 @ 5:42am
d