mutakhir

Rezeki datang dalam kotak [METROTV]

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan dan Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Program amal agihan pek berbuka puasa dan keperluan makanan Harian Metro HM#KotakRezeki 2016 yang diadakan di Bazar Ramadan Alor Pongsu, dekat sini mencuri perhatian ramai.

Ia julung kali diadakan sempena program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) dan orang ramai berpusu-pusu mendapatkan Kotak Rezeki yang disifatkan ringkas dan menarik.

Pengunjung bazar, Abdul Rahman Ali, 54, berkata, dia terkejut melihat orang ramai tertumpu di bazar itu untuk mendapatkan Kotak Rezeki yang disediakan HM.

Katanya, pada mulanya dia menyangka beg yang terdapat Kotak Rezeki dan kurma itu dijual namun selepas menghampirinya baru dia sedar ia diberikan secara percuma.

"Saya terperanjat juga apabila beg yang mengandungi Kotak Rezeki dan kurma itu diberi percuma oleh petugas HM.

"Saya bersyukur kerana memperoleh Kotak Rezeki itu walaupun ramai yang berebut-rebut untuk mendapatkan beg berkenaan," katanya ketika ditemui.

Pelajar, Amirah Abd Halin, 22, berkata, dia gembira kerana lokasi bazar di kampungnya itu menjadi pilihan HM untuk menjalankan aktiviti kebajikan dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Saya berharap program seperti Ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa.

"Pemberian Kotak Rezeki sedikit sebanyak memudahkan orang ramai yang tidak berkesempatan berbuka puasa di rumah," katanya ketika ditemui, di sini.

Sebanyak 150 pek Kotak Rezeki diagihkan kepada orang ramai selama kira-kira 15 minit. Bagaimanapun, ada yang pulang hampa dan kecewa kerana gagal mendapatkan Kotak Rezeki itu.

Sementara itu, Pengarang Kumpulan HM Datuk Mustapa Omar berkata, pasukan HM akan bergerak ke 37 lokasi untuk mengagihkan Kotak Rezeki ke beberapa destinasi terpilih seluruh Semenanjung.

"Program di Alor Pongsu ini adalah lokasi pertama pengagihan Kotak Rezeki individu dan famili.

"Kita akan bergerak ke beberapa destinasi terpilih selepas ini untuk meneruskan program yang juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat," katanya.

Beliau berkata, program itu kali kedua membabitkan Surau Nurul Hasanah, Parit Abu Hassan, Alor Pongsu selepas kali pertama majlis perasmian surau yang dibina baru oleh HM diadakan tahun lalu.

Mustapa sebelum itu turut menyerahkan Kotak Rezeki famili kepada 15 keluarga miskin di sekitar Kampung Parit Abu Hasan Ban, Kampung Parit Abu Hasan dan Kampung Kesah Tengah.

Turut disampaikan beras, beg goodie yang mengandungi telekung, kain pelekat, biskut raya dan kurma. Hadir sama Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro Othman Mamat yang juga Pengerusi TKHM.

Pengarah TKHM merangkap Pengarang Berita Kanan Wilayah HM Ahmad Shahrul Nizam Muhammad serta Ketua Komunikasi Korporat NSTP Wan Abdillah Wan Nawi.

Disiarkan pada: June 18, 2016 @ 5:48am
d