mutakhir

Biskut teristimewa

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Kota Bharu: Mereka hanya membakar sejenis biskut raya namun enam anak yatim dari Rumah Puteri Harapan, Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (YAATIM), di sini, menjadikannya satu bisnes kecil untuk menampung dana pusat mereka.

Mereka adalah Norsyafika Mohamad, Noraini Salleh, Nur Syakila Idayu Razali, Nor Laila Mohd Syukri, Nor Haika Akma Mohamad dan Nor Azera Othman, yang masing-masing berusia 18 tahun.

Keenam-enamnya mula membuat biskut Almond Coffee Snow sejak April lalu dan sehingga kini, menerima lebih 3,000 tempahan sekitar Kelantan dan negeri sejauh Johor, Kuala Lumpur, Kedah, Terengganu dan Pahang.

Semuanya kerana kerangupan biskut hasil air tangan anak istimewa berkenaan, sekali gus mahu menyumbang kepada mereka sepanjang Ramadan ini.

Nur Syakila Idayu berkata, setiap hari, dia dan rakannya mampu membakar 1,000 biskut bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

Walau terpaksa bertahan dengan bahang panas ketuhar, katanya, dia gembira dapat menghasilkan biskut itu yang dibuat seikhlas hati untuk membantu rumah kebajikannya.

Lagipun, katanya, menjelang Aidilfitri, mereka memerlukan peruntukan yang lebih tinggi untuk keperluan 159 penghuni berusia 11 hingga 19 tahun termasuk pakaian dan kelengkapan lain.

“Ini adalah pengalaman baru saya dan rakan membakar biskut raya kerana sebelum ini tidak pernah ada projek begini.

“Saya gembira dapat menyumbang sesuatu untuk pusat, lagipun kami enam orang menunggu keputusan permohonan melanjutkan pengajian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, mereka kini sibuk menyiapkan 300 tempahan untuk Aidilfitri yang ditempah pelanggan, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif YAATIM, Mohamad Yaakob berkata, projek biskut raya itu hanya bermodalkan RM2,000 yang digunakan untuk membeli ketuhar dan peralatan serta bahan membuat Almond Coffee Snow.

Katanya, keputusan memulakan projek itu kerana enggan bergantung kepada dana dan sumbangan orang ramai untuk meneruskan operasi mereka.

“Tambah lagi, enam anak di sini sudah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menunggu panggilan lanjutkan pengajian, jadi mereka juga bersetuju untuk mencuba bakar biskut.

“Dua minggu sebelum projek dimulakan, mereka mempelajari cara-cara membuat biskut ini dan dipantau seorang tenaga pengajar wanita.

“Kami memang berhasrat menjadikan ini sebagai cabang perniagaan yang boleh beri pendapatan tambahan kepada rumah kebajikan,” katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2016 @ 5:25am
d