mutakhir

Kembali jadi muslim

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lipis: “Nak dabik dada kata mak cik pandai bab agama ini tak adalah. Alhamdulillah, untuk (beribadat) diri sendiri, insya-Allah, bolehlah,” kata Laila Abdullah, 75, dari Pos Betau, Kuala Lipis, Pahang.

Dia antara wanita Orang Asli yang cekap menganuti agama Islam dalam suasana tidak menggalakkan seperti kekurangan guru agama dan sebahagian besar masyarakat yang bukan Islam di sini.

Menurut Laila, akibat ketiadaan bimbingan agama Islam, dia pernah hilang arah lalu kembali menganuti agama asal sebelum kembali mengucap syahadah.

“Hati saya sayang dan terbuka untuk terima Islam, tapi mualaf macam kami perlu banyak bantuan seperti guru agama yang dapat mengajar secara tetap.

“Bukan sekadar datang jenguk dan kemudian tidak buat apa-apa untuk bimbing dan beri tunjuk ajar mengenai ajaran Islam sebenar.

“Kepada siapa kami nak bertanya, sedangkan rata-rata kami tidak tahu membaca dan menulis. Mak cik sendiri buta huruf kerana tidak bersekolah,” katanya ketika ditemui di kelas fardu ain di Surau Al Falah, di sini.

Kelas berkenaan dijalankan Izam Idris dari sukarelawan Al Jauharat Team bersama Yayasan Kasih Tauhid (YKT) sejak enam tahun lalu sekali gus berjaya membimbing lebih 100 masyarakat Orang Asli di penempatan berkenaan.

Laila yang berpeluang menunaikan haji bersama cucunya pada 2011 berkata, dia yang pernah menjadi bidan kampung kembali memeluk Islam hasil bimbingan seorang pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang ketika itu bertugas di Pos Betau.

Katanya, dia tidak mengingati tarikhnya, namun ketika itu bulan puasa dan pegawai terbabit yang dikenali sebagai Razak turut menjadi anak angkatnya.

Selepas memeluk Islam, pelbagai dugaan dihadapi Laila antaranya tentangan keluarga.

“Namun, hati saya suka dengan Islam tambahan sejak kecil saya dibesarkan dan bergaul dengan orang Melayu ketika berpindah mengikut keluarga ke Bukit Betong,” katanya.

Ditanya pengalaman menunaikan haji Laila berkata, sukar untuk menggambarkan perasaannya terutama melihat Kaabah ketika itu dan amat bersyukur diberi kesihatan dan dipermudahkan semua urusan di Makkah.

“Mak cik amat terharu dan tidak lupa mereka yang menolong hingga mak cik dan cucu Noradilah Abdoh dapat pergi menunaikan haji,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Regen Itam, 74, pula berkata, dia memeluk Islam pada 1992.

“Mulanya saya menasihati rakan jika memeluk agama Islam, mesti bersungguh-sungguh dan jangan sekerat jalan. Akhirnya, hati saya terbuka untuk memeluk Islam dan isteri saya juga turut memeluk Islam beberapa bulan selepas itu,” katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2016 @ 5:28am
d