mutakhir

Angkara bayu

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Jasin: “Angin di sini kadang-kadang memang kuat, angin laut ditambah pula sawah padi di sebelah masjid, tiada apa yang menghalang laluan angin, jadi saya anggap angin yang menggerakkannya,” kata jemaah Masjid Jamek Kampung Tedong, Othman Katol, 65, mengenai kejadian papan penghadang di masjid terbabit bergerak sendiri yang menjadi viral di laman sosial.

Menurutnya, tiada apa untuk dihebohkan mengenai papan penghadang itu dan jemaah masjid terbabit tidak berasa hairan.

Seorang lagi jemaah yang ingin dikenali sebagai Zul, 57, berkata, berdasarkan suara individu yang merakam semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam video viral berdurasi 1 minit 48 saat itu, dipercayai ada makhluk halus yang masuk dan keluar menerusi pintu masjid tanpa dinampak, mencuri wang.

“Setakat ini, saya tidak dengar pula orang kampung bercakap mengenai wang tabung derma masjid dicuri mahupun pintu diumpil. Sejak mula digunakan April lalu, saya belum dengar lagi masalah kecurian di masjid ini,” kata Zul.

Berikutan kejadian itu, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) melakukan pemeriksaan di masjid terbabit jam 1 tengah hari semalam.

Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Rahimin Bani berkata, pihaknya tidak menolak kewujudan makhluk halus seperti didakwa pihak tertentu dan mempelawa mana-mana pihak melakukan kajian di masjid terbabit namun faktor angin menolak papan itu dianggap lebih tepat ketika ini.

“Apabila kita tiba dan melakukan pemeriksaan di sini tadi (semalam), kebetulan angin tidak berapa kuat di sini berjaya menggerakkan papan penghadang.

“Papan penghadang juga mudah digerakkan kerana mempunyai empat roda selain lantai masjid yang licin,” kata Rahimin.

Menurutnya, makhluk halus seperti Jin Ifrit mempunyai keupayaan mengalihkan benda secara fizikal.

“Dalam surah al-Quran ada menyebut mengenai kisah Nabi Sulaiman dan peralihan Istana Balqis dan beberapa lagi kisah lain.

“Dalam banyak-banyak jin, memang Jin Ifrit mempunyai keupayaan mengalihkan benda secara fizikal berbanding jin lain,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati papan penghadang beroda itu bergerak sejauh dua meter apabila ditiup angin yang tidak terlalu kuat.

Turut dilihat, jemaah masjid terbabit sudah mengalihkan papan penghadang itu ke dalam masjid.

Rahimin turut menggesa pihak tertentu merujuk kepada JAIM atau Mufti negeri untuk mendapatkan bantuan sebelum meviralkan apa-apa yang mungkin menimbulkan keraguan dalam masyarakat.

Disiarkan pada: June 19, 2016 @ 5:39am
d