mutakhir

Sukatan rahsia penyedap rasa

Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Pada bulan mulia ini, ramai tercari-cari juadah yang sukar didapatkan pada bulan lain terutama menu yang sinonim dengan Ramadan seperti bubur lambuk.

Dalam kesibukan peniaga di bazar Ramadan menjual pelbagai pilihan menu kepada pelanggan, pemilik Restoran ZK Kg Attap, Zabarullah Khan Kader Mydin turut tidak ketinggalan dalam menawarkan menu utama restorannya iaitu kari kepala ikan.

“Di sini, kami menyediakan dua jenis kepala ikan iaitu kepala ikan merah dan jenahak terdiri daripada pelbagai saiz.

“Selain kari dan untuk melengkapkan lagi santapan pelanggan, Restoran ZK turut menyediakan beberapa menu lain termasuk sotong sambal dan ayam madu,” katanya.

Tambahnya, adunan tujuh rempah ratus yang menghasilkan satu hidangan kari kepala ikan menyelerakan dengan penuh aroma membuatkan orang ramai khususnya pelanggan setia sanggup beratur panjang bagi menikmati hidangan terbabit.

“Kesempurnaan rasa masam, manis dan pedas dalam kari ini sentiasa menjadi kegilaan pelanggan terutama peminat kari kepala ikan sekitar Lembah Klang,” katanya.

Menafikan menggunakan tambahan ramuan masakan, dia berkata, resipi dan teknik yang ditampilkan sama seperti cara memasak kari kepala ikan lain, tetapi yang membezakannya hanyalah sukatan rahsia bagi setiap rempah ratus.

Mengulas keistimewaan lain kari kepala ikannya, Zabarullah berkata, sebagai pemilik restoran, dia mementingkan kesegaran setiap menu disediakan.

“Bagi memastikan kesegaran bahan mentah, saya mahupun ahli keluarga lain sendiri ke pasar borong untuk mendapatkan kepala ikan yang baru dinaikkan dari laut.

“Setiap kepala ikan yang diambil mula dimasak seawal jam 9 pagi dan ia sedia dihidangkan menjelang waktu makan tengah hari,” katanya.

Sempena Ramadan ini, Restoran ZK menawarkan promosi menarik di mana dengan setiap set hidangan untuk empat hingga lima orang bernilai RM140, pelanggan boleh menikmati kari kepala ikan, sotong sambal, ayam madu, sayur kubis, cili bawang, papadom, nasi putih dan satu jag air.

Dengan kemudahan surau yang boleh memuatkan 20 hingga 30 orang dalam satu masa, Restoran ZK turut beroperasi setiap hari bermula jam 6 hingga 9 pagi untuk sarapan dan dari 11 pagi hingga lima petang bagi makan tengah hari.

Bagi yang ingin membuat tempahan, boleh hubungi menerusi Facebook dan Instagram, Restoran ZK.

Disiarkan pada: June 20, 2016 @ 5:05am
d