mutakhir

Kecut perut jumpa Pokku

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Memegang jawatan sebagai anggota polis berpangkat koperal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan pada masa sama menjadi peninju muay thai yang digeruni lawannya.

Itu bisa Tengku Shahrizal Tengku Abd Rahman, 31, peninju yang mewakili Kelab Muay Thai Kuda Merah Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2005.

Pemilik nama ini memang tidak perlu diperkenalkan lagi terutama kepada peminat sukan muay thai tanah air kerana ketangkasan dan kemahirannya menumbangkan lawan.

Diberi jolokan Pokku Kuda Merah, dia sudah bertanding lebih 200 pertarungan sejak menyertai pasukan polis pada 2005 sama ada menentang lawan dari dalam atau luar negara.

Daripada semua pertandingan profesional yang disertainya sepanjang berkhidmat dalam polis, dia hanya tumpas kurang daripada 10 perlawanan dan perkara ini pastinya membuatkan lawannya kecut perut apabila perlu bertembung dengannya.

Anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu berkata, pencapaian yang paling membanggakan apabila muncul juara Kelayakan Contender Asia Musim Ke-2 pada 2008 dengan mengalahkan Bernard Radin iaitu jurulatih muay thai kebangsaan ketika ini.

“Selain itu, selama empat tahun berturut-turut saya mengalahkan peninju terhebat dari empat wilayah Thailand dalam pertandingan berbeza.

“Pencapaian lain yang membanggakan apabila layak sehingga ke suku akhir pertandingan muay thai di Iran pada 2012. Selain itu, kebanyakan pertandingan yang saya sertai, saya mendapat pingat emas atau juara,” katanya ketika ditemui di Gym Kelab Muay Thai Kuda Merah PDRM di Pulapol, di sini.

Menurutnya, selepas memenangi banyak pertandingan, dia menerima banyak pujian sama ada daripada rakan, peminat dan warga polis sendiri, namun semua itu tidak membuatkannya lupa diri.

“Saya terhutang budi kepada PDRM kerana memberikan peluang untuk fokus dalam sukan ini. Pengelola tinju muay thai PDRM Asisten Superintendan Mohd Azlan Ab Wahab dan jurulatih kelab ini Sarjan Rosli Yaacob banyak membantu dalam menentukan perjalanan karier.

“Semua kejayaan ini tidak datang tanpa pengorbanan besar. Ketika baru bertatih dalam sukan muay thai, saya terpaksa mengorbankan zaman remaja dengan meluangkan masa di gimnasium untuk berlatih,” katanya.

Menurutnya, pengalaman yang sukar dilupakan dalam sukan ini apabila dia terpaksa menerima empat jahitan di kening kiri selepas disiku lawan dalam satu kejohanan pada 2009.

“Pengadil perlawanan terpaksa memberhentikan perlawanan dan saya dikira kalah selepas darah tidak berhenti keluar.

“Bagaimanapun, perkara itu saya anggap hanya asam garam dalam sukan muay thai dan insiden itu tidak sedikitpun membuatkan saya patah semangat,” katanya.

Bapa kepada dua anak ini berkata, disebabkan kejayaannya itu, dia menerima beberapa penghargaan daripada kepemimpinan PDRM termasuk Anugerah Pencapaian Cemerlang (APC).

Disiarkan pada: June 20, 2016 @ 5:06am
d