mutakhir

Rela hidup susah di kota

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Kesusahan hidup tidak menjadi alasan untuk lelaki kelahiran Pasir Mas, Kelantan, Mohd Affendy Yaacob, 37, bergantung harap kepada ihsan orang ramai sebaliknya dia lebih rela berdikari mencari rezeki dengan menjual cendol di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini.

Malah, Mohd Affendy yang berhijrah ke ibu kota sejak 20 tahun lalu selesa dengan pekerjaan dilakukannya walaupun sedar pendapatan diperolehnya tidak menentu.

Menceritakan semula permulaan hidupnya di ibu kota ini, Mohd Affendy berkata, dia berhijrah ke ibu kota bersendirian dengan tekad mencari rezeki untuk mengubah nasib diri dan keluarga.

“Sejak kecil lagi, saya sudah berasa hidup susah dan ke ibu kota dengan harapan untuk memperoleh pekerjaan bergaji lumayan.

“Namun, ia tidak semudah disangka dan kerana itu, saya tidak memilih pekerjaan, malah sanggup melakukan pelbagai pekerjaan termasuk operator pengeluaran di kilang dan tukang masak asalkan mendapat rezeki yang halal.

“Pendapatan bulanan diterima memang tidak banyak tapi cukuplah untuk menyara diri dan jika ada lebihan, saya menghulurkan sebahagiannya kepada ibu bapa di kampung,” katanya ketika ditemui pada Program Kaseh Ramadan di Pusat Transit Gelandangan di Jalan Pahang, di sini, baru-baru ini.

Majlis itu dihadiri isteri Menteri Wilayah Persekutuan Datin Seri Anggraini Sentiyaki.

Program itu bertujuan merapatkan ukhwah dalam kalangan penghuni dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertiwi Soup Kitchen, Unggas KL, Merci Chef Malaysia, Kenchara Soup Kitchen dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Mohd Affendy yang menjadi penghuni di Pusat Transit Gelandangan itu sejak Februari lalu berkata, selain berdikari, dia juga belajar erti pengorbanan sejak tinggal berjauhan dengan keluarga.

“Orang lain mungkin teruja menyambut Aidilfitri, namun tidak bagi saya yang sudah lali meraikannya secara sederhana dan kadangkala tanpa baju raya baharu.

“Malah, saya adakalanya juga tidak dapat pulang beraya di kampung kerana bekerja pada 1 Syawal tetapi itu semua dianggap sebagai lumrah hidup merantau,” katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2016 @ 10:02am
d