mutakhir

Kaji semula stok penyimpanan beras

Oleh myMetro

Serdang: Stok penyimpanan beras selama 45 hari seperti yang ditetapkan oleh kerajaan perlu dikaji semula kerana dibimbangi tidak dapat menampung keperluan rakyat jika berlaku sebarang bencana besar.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin berkata, negara akan terjejas jika bekalan makanan terputus dalam tempoh hanya empat hari.

Katanya, stok penyimpanan beras bagi negara maju seharusnya mampu menampung keperluan selama enam bulan.

“Kajian menunjukkan bagi mengekalkan kestabilan stok penyimpanan beras ia seharusnya dapat menampung selama enam bulan bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku.

“Bagaimanapun, di negara ini hanya mempunyai stok penyimpanan beras selama 45 hari. Pada pendapat saya, mungkin kos yang tinggi menyebabkan kita hanya mampu menyimpan untuk tempoh yang singkat saja,” katanya selepas Program Advokasi Ilmuwan di UPM, semalam.

Menurutnya Mad Nasir, pengguna di Malaysia menghabiskan 30 peratus daripada gaji untuk keperluan makanan.

“Kita mengimport hampir 18.1 bilion makanan menyebabkan ia ada kecenderungan wujudnya import inflasi.

“Oleh itu, jika harga makanan naik, golongan yang miskin akan terjejas,” katanya.

Disiarkan pada: June 22, 2016 @ 9:51am
d