mutakhir

Warisi resipi beriani bapa mentua

Oleh myMetro

Johor Bahru: “Resipi kami asli dari India dan beriani kami menggunakan minyak asli dari kambing serta rempah ratus bermutu,” kata Irdawati Abdul Rahim 38, penjual nasi beriani Hyderabad di bazar Ramadan di Bandar Baru Uda, di sini.

Irdawati yang mengusahakan perniagaan nasi beriani Hyderabad bersama suaminya, Zainuddin Abu Bakar, 45, sejak enam tahun lalu menggunakan resipi diwarisi daripada arwah bapa mentuanya yang berketurunan Malbari dari India.

Katanya, sudah menjadi kelaziman kepadanya memilih lokasi ini untuk berniaga pada bulan Ramadan.

“Menariknya nasi beriani ini tidak menggunakan banyak minyak seperti beriani di gerai lain.

“Selain itu, nasinya dimasak secara kukus tanpa santan sebaliknya digantikan dengan badam,” kata ibu empat anak itu yang tidak menang tangan melayan pelanggan di bazar terbabit.

Menurutnya, nasi beriani Hyderabad sihat untuk dimakan selain tidak mengandungi lemak tinggi.

“Orang sekarang ini kalau dengar sahaja nasi beriani mesti ingat banyak minyak dan tidak sihat untuk dimakan,” katanya.

Irdawati berkata, nasi beriani dijual di gerainya menampilkan kelainan tersendiri dan sesuai untuk pelanggan yang mencari nasi beriani sihat dimakan ketika waktu berbuka.

Irdawati berkata, setiap hari dalam bulan Ramadan, gerainya menjual 20 kilogram nasi beriyani, 100 potong ayam dan seekor kambing seberat 15 kilogram.

“Nasi beriani kami dijual pada harga berpatutan. Bagi beriani kambing harganya RM10 dan beriani ayam RM9 sebungkus,” katanya yang memberitahu lebih 180 bungkus nasi terbabit terjual setiap hari.

Disiarkan pada: June 22, 2016 @ 10:10am
d