mutakhir

Berbaris nanti pau cendawan

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: “Akak datang esok boleh, pau dah habis.”

Itu dialog biasa diucapkan pengusaha pau cendawan, Rohani Saleem, 47, kepada pelanggannya di tapak Bazar Ramadan Putrajaya 2016 bersebelahan Istana Kehakiman di Presint 3, di sini.

Namun, apa yang mengecewakan, dialog pau dah habis itu diucapkan seawal jam 5 petang setiap hari sejak awal Ramadan lalu.

Pau cendawan dijual Rohani dan suaminya, Hassan Ahmad, 48, tiba-tiba menjadi fenomena penduduk di sekitar Putrajaya dan kawasan sekitar apabila kisah kelazatan dan keunikan pau seakan cendawan butang itu viral di laman sosial awal Ramadan lalu.

Wartawan sempat berkunjung di bazar Ramadan itu bagi melihat sendiri kesahihan viral itu dan terbukti ia benar apabila lebih 50 pelanggan dilihat sudah beratur bagi mendapatkan pau cendawan unik itu.

Bayangkan, lebih 1,000 pau cendawan disediakan setiap hari terjual dalam tempoh tidak sampai sejam, malah setiap pelanggan dihadkan membeli hanya enam biji pau sahaja.

Rohani berkata, dia dan suami tidak menjangka pau unik mendapat sambutan luar biasa terutama selepas kisah pau itu diviralkan di laman sosial.

Beliau berkata, sejak seminggu lalu, dia menghadkan jualan pau kepada enam biji bagi setiap pelanggan bagi membolehkan lebih ramai pelanggan merasai pau itu.

“Kami dapat menghasilkan 1,000 pau sehari kerana kaedah menghasilkan pau itu rumit dan ia dihasilkan seratus peratus menggunakan tangan,” katanya.

Katanya, sebelum ini, dia dan suami mengusahakan perniagaan pau sejak lima tahun lalu sebelum timbul idea menghasilkan pau unik itu menerusi sebuah dokumentari di China.

Rohani berkata, pau cendawan itu mengandungi cendawan butang, tomato dan isi ayam serta ia dijual pada harga RM3.50 sebiji dan RM10 bagi tiga biji.

Sementara itu, seorang pelanggan, Jamil Abd Samad, 62, berkata, dia mengetahui keunikan pau itu selepas dimaklumkan isterinya sebelum datang sendiri semalam untuk beratur mendapatkan pau itu.

Disiarkan pada: June 22, 2016 @ 10:13am
d