mutakhir

Hargai kakitangan awam

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Kerajaan negeri Kedah mengumumkan pemberian bonus hari raya kepada semua kakitangan awam dan pesara di negeri itu yang dijangka akan diterima bersama gaji bulanan, hari ini.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, bagi pemberian insentif itu kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta dan ia diharap dapat meringankan beban golongan ini untuk membuat persiapan menjelang Hari Raya.

“Setiap kakitangan awam akan menerima RM500 manakala pesara pula akan menerima RM250 setiap seorang dan imbuhan ini sebagai menghargai penat lelah mereka bersama kerajaan negeri.

“Kita harap kakitangan awam berbelanja dengan berhemah dan memperuntukkan sebahagian bonus ini untuk simpanan dan kegunaan masa hadapan.” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini, semalam.

Sebelum itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mempengerusikan Mesyuarat EXCO selama satu setengah jam di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP.

Bagaimanapun, beliau dinasihatkan doktor supaya terus berehat dan tidak mengadakan sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Sementara itu, Shaiful Hazizi berkata, Ahmad Bashah dijangka kembali bertugas dalam tempoh terdekat berikutan kesihatannya yang terus menunjukkan perkembangan positif.

Katanya, ketika ini semua kerja pentadbiran kerajaan negeri Kedah diuruskan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din dan dibantu barisan EXCO.

“Namun saya tidak dapat maklumkan sampai bila Menteri Besar bercuti kerana perkara itu ditentukan doktor yang merawatnya.

“Bagaimanapun, kesihatannya kini dilihat semakin baik dan beliau akan kembali bertugas selepas disahkan sembuh sepenuhnya,” katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2016 @ 5:43am
d