mutakhir

Tidak dilupakan

Oleh Syazwan Msar

Bentong: Badan Khairat The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) meneruskan khidmat dan bakti kepada masyarakat apabila menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan dapur kepada 54 penghuni Badan Amal Nur Zaharah di Kampung Sum-Sum Hilir, Janda Baik, dekat sini, semalam.

Pemberian bantuan itu disampaikan Pengerusi Badan Khairat NSTP, Datuk Mustapa Omar sebagai usaha meringankan bebanan yang ditanggung mereka dalam menghadapi bulan Ramadan.

Mustapa yang juga Pengarang Kumpulan Harian Metro berkata, pemberian bantuan itu antara inisiatif untuk membantu meringankan beban golongan memerlukan di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan masyarakat setempat.

Beliau berkata, Badan Khairat NSTP sentiasa merangka pelbagai aktiviti kemasyarakatan terutama pada Ramadan demi memastikan bantuan dan sumbangan dapat disalurkan kepada golongan memerlukan.

“Ini kali pertama Badan Khairat NSTP menyampaikan sumbangan kepada anak yatim berkenaan dan pada masa sama, kita juga mengadakan majlis berbuka puasa bersama mereka,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Majlis Berbuka Puasa bersama anak yatim Badan Amal Nur Zaharah, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Badan Amal Nur Zaharah, Datuk Seri Nik Muhamed Nik Mahmood, Pengurus Badan Amal Nur Zaharah, Yahya Yusuf dan Timbalan Pengerusi Badan Khairat NSTP, Roslan Ibrahim.

Sementara itu, Yahya berkata, sumbangan yang disampaikan Badan Khairat NSTP dapat meringankan bebanan mereka yang terpaksa menanggung kos perbelanjaan keseluruhan mencecah RM600,000 setahun.

“Rumah amal ini sudah beroperasi lebih 12 tahun lalu dengan menempatkan penghuni daripada pelbagai latar belakang yang terdiri daripada anak yatim dan fakir miskin.

“Berikutan rumah amal ini berada sedikit tersorok menyebabkan orang ramai kurang mengetahui kewujudannya, sekali gus kurang mendapat sumbangan walaupun pada bulan Ramadan,” katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2016 @ 5:49am
d