mutakhir

Amal banyak minum air

Makkah: Cuaca panas melampau sehingga 50 darjah c Celsius di Madinah dan Tanah Suci Makkah boleh menyebabkan strok haba dan 22,320 jemaah haji Malaysia dinasihati supaya sentiasa mengambil langkah mengurangkan risiko berkaitan masalah kesihatan.

Pengerusi Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bagi musim haji tahun lalu, cuaca panas sehingga 48 darjah Celsius direkodkan.

“Tahun ini, kami beranggapan masalah utama yang bakal dihadapi jemaah haji berpunca daripada cuaca panas sehingga 50 darjah Celsius.

“Ia boleh menyebabkan strok haba dan saya merayu supaya jemaah haji sentiasa menjaga kesihatan dengan meminum banyak air bagi mengurangkan dihidrasi, seterusnya mengurangkan risiko terkena strok haba,” katanya pada Lawatan Kerja Ke Tanah Suci Makkah Bagi Meninjau Persiapan TH Bagi Musim Haji 1437H.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Johan Abdullah serta Setiausaha Sulit Perdana Menteri Tan Sri Shukry Mohd Salleh merangkap Ahli Lembaga Pengarah TH.

Abdul Azeez berkata, cabaran utama bagi jemaah ialah ketika berada di Mina, Arafah serta Mudzalifah ketika menyempurnakan ibadat haji.

“Ia kawasan terbuka dan di sini jemaah perlu lebih menjaga aspek kesihatan masing-masing bagi mengurangkan risiko terkena serangan strok haba,” katanya.

Beliau berkata, tahun lalu, seramai 48 jemaah haji meninggal dunia dan beberapa kematian direkodkan berpunca daripada strok haba.

“Selain itu, jemaah juga dinasihati supaya tidak mengabaikan pengambilan ubatan berkaitan penyakit dihidapi,” katanya.

Berkaitan kuota tambahan 10,000 jemaah haji negara, Abdul Azeez berkata, kerajaan masih berusaha untuk memperolehnya.

“Ia hak mutlak kerajaan Arab Saudi namun berdasarkan beberapa perbincangan dibuat sebelum ini, ia menunjukkan perkembangan positif.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri berusaha menghubungi pemerintah Arab Saudi bagi memohon tambahan kuota ini. Selain itu, TH juga menjalankan tanggungjawab bagi merealisasikan hasrat memperoleh kuota tambahan ini,” katanya.

Abdul Azeez memohon rakyat Malaysia supaya berdoa permohonan mendapatkan kuota tambahan berkenaan diluluskan.

“Pada masa sama, TH juga melakukan persediaan membabitkan lokasi penginapan dan perkara berkaitan bagi memastikan jika kuota tambahan berkenaan diluluskan, maka jemaah tidak berdepan masalah untuk menjalani ibadat haji.

“Kami jangkakan maklumat berkaitan kelulusan kuota tambahan ini akan diperoleh pada penghujung Julai. Kami harap ia dikeluarkan awal namun atas faktor tertentu, kelazimannya ia dimaklumkan pada tempoh berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Azeez juga memohon mereka yang sedang menunggu giliran selain yang berada dalam senarai menunggu supaya mengemas kini data peribadi masing-masing.

“Saya minta tolong mereka supaya ke pejabat cawangan TH berhampiran untuk kemas kini data peribadi seperti buku akaun Tabung Haji, alamat tempat tinggal serta nombor telefon.

“Ini bagi memudahkan kami menghubungi mereka jika ada dalam kalangan golongan ini berpeluang menunaikan haji melalui kuota tambahan diluluskan Arab Saudi.

“Berdasarkan pengalaman, ada yang gagal dihubungi kerana tidak mengemas kini data peribadi masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2016 @ 5:53am
d