mutakhir

Premis proses telur masin hangus

Parit Buntar: “Mujur salah seorang ahli keluarga sempat menyelamatkan anak saudara berusia sembilan tahun yang tidur di dalam sebuah bilik, kalau tidak mungkin sesuatu yang buruk akan berlaku,” kata Khor Chin Yaw, 47.

Chin Yaw pemilik premis memproses telur masin di Jalan Siakap Kuala Kurau, di sini yang terbakar dalam kejadian jam 2.30 petang, kelmarin.

Katanya, ketika kejadian, dia berada di luar untuk berurusan dengan pelanggan dan terkejut menerima panggilan daripada keluarga mengenai kejadian itu.

“Saya segera pulang dan sebaik tiba, kelihatan api marak membakar rumah dan premis perniagaan.

“Menurut cerita seorang ahli keluarga, sewaktu kejadian, seorang anak saudara perempuan tidur di dalam bilik dan mereka sempat memecah pintu bilik bagi menyelamatkannya.

“Mujur semua ahli keluarga selamat, namun perniagaan kami tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Menurut Chin Yaw, ketika kejadian, seramai 40 pekerjanya bersama ahli keluarga, menyiapkan tempahan telur masin pelanggan sempena perayaan kuih bulan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Seorang pekerja, Sabariah Dahalan, 64, berkata, sejurus menyedari premis terbabit terbakar, dia bersama-sama pekerja lain bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Katanya, dia bagaimanapun sempat menyelamatkan motosikalnya daripada terbakar.

“Menggeletar seluruh badan saya menyaksikan rumah majikan dan premis tempat kami bekerja terbakar.

“Mujur saya dan pekerja lain sempat menyelamatkan diri dan motosikal masing-masing.

“Namun kami terkilan tidak sempat menyelamatkan dua motosikal majikan,” katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2016 @ 5:58am
d