mutakhir

Jeritan selamat nyawa

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: “Saya sedang bersarapan bersama rakan yang kebetulan bertandang di rumah. Ketika itulah seorang rakan melihat kepulan asap dari rumah sebelah melalui tingkap.

“Risau berlaku sebarang kejadian tidak diingini kami bergegas keluar dari rumah menyelamatkan diri,” kata warga emas, Bob Moissinac, 67, selepas rumahnya musnah dalam kebakaran, semalam.

Dalam kejadian di Jalan Parameswara, di sini, kira-kira jam 11 pagi, Bob hanya mampu melihat rumah separuh kekal dua tingkat miliknya musnah 90 peratus selepas disambar api yang merebak dari premis bersebelahan.

Ketika itu dia bersama lapan rakan berada di tingkat bawah manakala anak perempuannya berusia 30-an berehat di tingkat atas, namun sempat menyelamatkan diri selepas mendengar jeritannya.

“Selepas rakan memberitahu ada asap, saya menjerit memanggil nama anak dan mengarahkan dia turun dan keluar dari rumah.

“Ketika itu kebakaran dari rumah sebelah sudah merebak ke kediaman saya. Kejadian yang terlalu pantas menyebabkan kami tidak sempat berbuat apa-apa.

“Kami bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri, isteri pula berada di Kuala Lumpur, dia pasti sedih dengan insiden berlaku kerana kediaman ini diwarisi turun temurun daripada keluarganya,” katanya.

Menurutnya, premis yang dipercayai menjadi punca kebakaran itu sudah setahun ditinggalkan dengan penghuni terakhirnya adalah sekumpulan buruh bekerja sekitar daerah ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu Timbalan Penolong Pengarah Bomba Khairuddin Jamaludin berkata, rumah tinggal terbabit musnah 100 peratus manakala sebuah lagi kediaman musnah 90 peratus.

“Panggilan kecemasan diterima jam 11.11 pagi. Jentera tiba di lokasi kebakaran 13 minit kemudian dan api berjaya dikawal jam 11.43 pagi. Kejadian tidak membabitkan kemalangan jiwa, punca kebakaran dan anggaran kerugian dalam siasatan.

“Kami menyelamatkan bangunan bekas rumah anak yatim Fatimah terletak bersebelahan bangunan yang terbakar,” katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2016 @ 6:01am
d