mutakhir

Ketam 'pasrah'

Oleh Mohd Rafi Mamat

Pekan: “Rezeki kami sebagai nelayan pantai bertambah dua hingga tiga kali ganda setiap kali Ramadan dengan kehadiran ketam yang muncul begitu banyak di laut.

“Saya mampu meraih RM100 hingga RM250 sehari hasil menjual ketam renjong, nipah dan mancis yang seolah-olah menyerah diri apabila banyak tersangkut dalam jaring,” kata nelayan pantai, Mohd Yusof Abdullah, 44.

Menurutnya, dia dan rakan mampu menangkap antara 10 hingga 25 kilogram ketam sehari menggunakan dua hingga empat jaring yang dipasang di kawasan perairan Nenasi, kira-kira 25 minit perjalanan dari jeti Kampung Badong Merchong, di sini.

Katanya, setiap hari selepas solat Subuh, dia akan ke laut menggunakan bot gentian kaca dan selepas jaring diangkat, proses mengeluarkan ketam dilakukan di jeti dibantu isterinya, Mariah Yunus, 32.

“Proses mengeluarkan ketam daripada jaring mengambil masa dua hingga tiga jam. Mereka yang ingin membeli ketam berpeluang memilih ketam segar dengan harga antara RM10 hingga RM15 sekilogram mengikut saiz dan jenis.

“Setiap kali Ramadan, jeti Kampung Badong Merchong menjadi tumpuan penggemar ketam yang mahu mendapatkan ketam segar dengan harga murah. Selain masyarakat setempat, ada juga yang datang dari Johor, Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun sebagai nelayan pantai.

Menurutnya, setiap kali Ramadan, wajah nelayan di kampung itu akan lebih ceria apabila mampu meraih pendapatan lumayan hasil jualan ketam selama sebulan.

“Fenomena ini (ketam muncul dengan banyak) sekali lagi akan berlaku pada Ogos hingga September depan,” katanya.

Ismail Nani, 38, berkata, setiap kali Ramadan, kira-kira 100 nelayan pantai di Merchong akan ceria apabila hasil tangkapan ketam bertambah, sekali gus memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri mereka.

Katanya, penat-lelah ke laut ketika berpuasa berbaloi apabila berjaya membawa pulang ketam dalam jumlah banyak dengan pelbagai saiz dan jenis berbanding pada bulan lain.

“Apabila musim ketam tiba, tangkapan ikan boleh dikatakan jauh berkurangan. Ketika itu, semua nelayan menumpukan kepada usaha menangkap ketam menggunakan jaring yang diangkat setiap dua hari.

“Saya bersyukur dengan rezeki bertambah setiap kali Ramadan. Hasil jualan ketam dapat memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri bersama keluarga,” katanya yang mampu meraih pendapatan antara RM100 hingga RM200 sehari hasil jualan ketam.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Datuk Adnan Hussain berkata, musim ketam membesar di perairan negeri ini bermula dari Julai hingga Oktober dan jumlah ketam bertambah di kawasan Kuala Pahang hingga Rompin.

Disiarkan pada: June 23, 2016 @ 6:24am
d