mutakhir

'Aura' baru Ameng beri kesan

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Vokalis kumpulan Spring, Ameng menjadi tetamu istimewa pada sambutan Nuzul Quran dianjurkan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Ramuan China Besar, di sini, semalam.

Pada program itu Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 47, bukan saja memukau 200 warga sekolah terbabit dengan kelunakan suaranya membaca al-Quran, tetapi turut tersentuh dengan tazkirah disampaikannya.

Guru besar sekolah Normah Awal berkata, sambutan Nuzul Quran bagi tahun 2016 bersamaan 1437H mencatat sejarah tersendiri atas kesudian penyanyi terbabit turut serta menjayakan aktiviti dianjurkan.

“Program anjuran Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab (PIBA) SK Ramuan China Besar itu turut memberi impak kepada murid terutamanya membabitkan aspek pergaulan, ikatan silaturahim dan kasih sayang.

“Nasihat Ameng mampu menjadi panduan bermakna kepada warga sekolah bermula daripada murid pendidikan prasekolah hingga ke tahun enam, semua guru dan kakitangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Panitia PIBA Ustaz Muhd Hafizan Yaacob berkata, beliau bersyukur semua peserta programkhusyuk mendengar suara Ameng membaca ayat al-Quran.

“Keinsafan pada wajah penyanyi itu ketika membaca al-Quran, menyampaikan tazkirah dan nyanyian lagu popularnya memberikan kesan mendalam kepada semua warga sekolah.

“Nasihat kepada semua khasnya murid supaya menjadikan al-Quran sebagai sahabat dengan mempelajarinya bersungguh-sungguh luahan ikhlas Ameng kepada generasi muda,” katanya.

Pada akhir persembahan Ameng mendendangkan lagu ‘Jalan Pulang’ daripada album tiga penjuru dengan lirik lagu terbabit amat menyentuh perasaan hadirin.

Ameng dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 atas tiga kesalahan termasuk dua kes memiliki dadah.

Dia menjalani hukuman itu di Penjara Kluang, Johor dan dibebaskan pada 14 Jun lalu.

Disiarkan pada: June 23, 2016 @ 6:29am
d