mutakhir

Gelang berkod bar

Oleh Nazarali Saeril

Makkah: Jemaah haji Asia Tenggara termasuk Malaysia akan dibekalkan dengan gelang tangan dilengkapi kod bar bagi memudahkan pengecaman jika berlaku sesuatu terhadap mereka.

Ketua Muasasah (Pengelola) Haji Asia Tenggara Sheikh Amin Indagiri berkata, gelang berkenaan akan dibekalkan kepada setiap jemaah haji dari rantau berkenaan.

“Selain gelang berkenaan, jumlah kamera litar tertutup (CCTV) akan ditambah dan dipertingkat di seluruh kawasan tumpuan jemaah haji Asia Tenggara.

“Bagi penambahbaikan pula, pihak muassasah akan menambah dua ambulans khas untuk jemaah haji Asia Tenggara. Kami juga menyediakan 15 kenderaan bagi memudahkan petugas muasasah membantu jemaah haji yang sesat atau tersasar ” katanya.

Menurut Sheikh Amin, semua perkara itu dilaksanakan hasil pengalaman mengendalikan jemaah haji 2015 dan dibuat melalui perbincangan dengan Tabung Haji (TH).

Berkaitan dengan perjalanan jemaah haji, pihak muasasah kali ini akan memastikan jadual perjalanan jemaah haji di Arafah, Mudzalifah dan Mina terkawal.

Maksudnya, tidak akan ada jemaah haji yang terlewat apabila bergerak dari Mudzalifah ke Mina. Selepas jam 12.30 tengah malam, semua sudah bersedia untuk bergerak ke Mina.

“Kami akan layan jemaah haji Asia Tenggara seperti keluarga kerana dalam kalangan kami, ada yang berasal dari rantau berkenaan selain ia penting untuk silaturahim.

“Kami juga amat memuliakan jemaah haji Malaysia dan pengurusan TH. Banyak yang kami belajar daripada TH dan hubungan ini menjadi sangat akrab apabila kami melakukan perbincangan berkaitan pengurusan jemaah saban tahun,” katanya.

Menurut beliau, pihak muasasah juga berharap TH boleh menjadi contoh kepada negara lain seperti dalam peraturan dan disiplin juga persediaan jemaah sebelum menunaikan ibadat haji.

Katanya, apa yang dilakukan oleh TH seperti kursus haji yang dianjurkan sangat membantu perjalanan dan pemahaman jemaah dalam melaksanakan ibadat haji.

Disiarkan pada: June 24, 2016 @ 10:07am
d