mutakhir

'Kami tidak dilupakan'

Oleh Azra Atiqah Azami

Shah Alam: Seramai 265 fakir miskin dan 144 mualaf menerima sumbangan RM500 untuk sambutan Aidilfitiri tidak lama lagi.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan pada Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat di Masjid Negeri, baru-baru ini.

Penerima Saiful Nizam Mt Hassan, 39, berkata, bantuan zakat itu meringankan bebannya membuat persiapan hari raya.

Dia yang lumpuh daripada paras pinggang ke kaki akibat kemalangan beberapa tahun lalu akan menggunakan wang itu membeli pakaian serta juadah raya.

“Saya bersyukur kerana ada pihak sudi menghulurkan sumbangan kepada golongan seperti kami.

“Sumbangan ini meringankan beban saya walaupun bujang, ia membantu saya membeli baju serta juadah raya,” katanya yang turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sultan Sharafuddin turut menerima pembayaran zakat perniagaan empat syarikat berjumlah RM12.5 juta bagi 2015.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan anak syarikatnya diwakili Pengurus Besar Azlan Md Alifiah menyerahkan zakat perniagaan RM5.5 juta diikuti UMW Holdings Berhad diwakili Pengerusinya, Tan Sri Asmat Kamaludin membayar zakat perniagaan RM4.3 juta.

PLUS Malaysia Berhad diwakili Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Noorizah Abdul Hamid menunaikan zakat perniagaan RM2 juta dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ahmad Omar menyerahkan zakat perniagaan RM702,145.

Disiarkan pada: June 24, 2016 @ 10:25am
d