mutakhir

Bahana taasub

Oleh Nazdy Harun

Marang: “Terlampau taasub dan tidak berfikir panjang hanya mengikut hati akhirnya mengundang sengsara apabila saya ditangkap kerana kesalahan menyertai sebuah kumpulan yang mengisytiharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong,” kata Mohamad, 56, (bukan nama sebenar) ketika ditemui di Penjara Marang di sini, semalam.

Menceritakan kisah silamnya itu, menurutnya, dia dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat dan sudah menghuni tembok besi sejak 16 tahun lalu kerana kesalahan dilakukannya.

Menurutnya, kurang kefahaman dan sikap mudah percaya mendorongnya menyertai sebuah kumpulan kerana terpengaruh dengan perwatakan individu yang berlagak alim.

“Lihat pakaian guru itu, saya sudah meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi sedangkan saya tidak tahu perihal sebenar di sebalik gerakan dibawa.

“Ilmu dan ajaran dibawa kumpulan itu juga saya tidak selidik sedalam-dalamnya, malah saya hanya mengikut apa yang dilakukan ahli lain. Guru yang tertinggi saya tidak mengenalinya, malah saya hanya mengikut konco mereka sepanjang menyertai kumpulan itu,” katanya.

Katanya, dalam sekelip mata, dia hilang pekerjaan di sebuah syarikat swasta terkenal di negara ini selain terpaksa ‘menghuni’ penjara sepanjang hayat, namun mujur isteri dan tujuh anak berusia 18 hingga 30 tahun tidak menyisihkan dirinya.

“Pesan saya kepada individu di luar sana, jangan mudah terpengaruh dengan dakyah songsang yang akhirnya membawa bahana kepada diri sendiri.

“Sejak 16 tahun menjadi banduan, saya sudah menghuni beberapa penjara termasuk Penjara Kajang, Sungai Buloh dan terbaru di Marang,” katanya.

“Sokongan isteri dan anak-anak memberi kekuatan kepada saya sepanjang berada dalam penjara dan kini mengikuti kelas menghafaz al-Quran yang disediakan pengurusan penjara,” katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2016 @ 10:30am
d