mutakhir

Amil 'celup' makin ligat [METROTV]

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Rizanizam Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kegiatan amil ‘celup’ atau tidak bertauliah yang semakin agresif sepanjang Ramadan boleh menyebabkan berlaku ketirisan kutipan zakat harta dan fitrah sehingga menjejaskan bantuan kepada asnaf.

Kumpulan itu kebiasaannya bergerak dari pejabat ke pejabat dengan menawarkan insentif tertentu terhadap pungutan zakat harta selain fitrah.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Mohd Rais Alias berkata, pihaknya mengeluarkan notis makluman, 9 Jun lalu kepada pihak masjid dan majikan bagi memaklumkan mengenai kegiatan tidak bertanggungjawab itu.

“Di Wilayah Persekutuan, kita dapati ada pihak mengutip zakat secara tidak sah dengan menawarkan pelbagai insentif untuk menarik orang ramai membayar kepada mereka.

“Perkara ini sudah agak lama berlaku dan kali ini kita keluarkan notis memaklumkan orang ramai untuk menyalurkan maklumat supaya tindakan dapat diambil,” katanya yang ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya menunggu aduan atau maklumat daripada orang ramai mengenai kegiatan itu.

Menurutnya, bagi membezakan antara penyamar dengan amil bertauliah, MAIWP mengeluarkan kad kuasa kepada mereka.

“Bagi amil zakat fitrah, kad kuasa itu bagi tempoh sebulan Ramadan saja untuk kutipan di surau, masjid, pejabat dan tempat membeli-belah manakala zakat harta pula hanya PPZ-MAIWP saja boleh mengutipnya di Wilayah Persekutuan.

“Sekiranya ada yang mengaku dari Majlis Agama Islam negeri lain, mereka tiada kuasa di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Mohd Rais berkata, amil ‘celup’ boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 33 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Individu yang membayar zakat atau fitrah kepada amil tidak bertauliah juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 34 Akta 559 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai berhati-hati dan menyalurkan maklumat di talian 1300 88 5757 supaya tindakan segera dapat diambil bagi membendung kegiatan itu.

Disiarkan pada: June 24, 2016 @ 10:34am
d