mutakhir

MPV langgar kereta anak depan rumah

Oleh myMetro

Melaka: Seorang kakitangan kerajaan mengeluarkan perbelanjaan lebih besar untuk menghias rumahnya sempena Aidilfitri berikutan sebahagian tembok pagar kediamannya rosak dirempuh sebuah kereta, semalam.

Dalam kejadian di Kampung Peringgit Dalam jam 9.40 pagi, sebuah Naza Ria dari arah Masjid Peringgit dipandu lelaki berusia lewat 40-an dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar batang paip dan Proton Satria diparkir di bahu jalan.

Akibat rempuhan kuat itu, bahagian belakang Proton Satria diparkir di hadapan rumah milik kakitangan awam berkenaan terhentak pada tembok pagar menyebabkan struktur terbabit pecah.

Pemilik rumah terbabit, Bakar Sulaiman, 57, berkata, ketika kejadian dia berada di pejabat dan pulang selepas menerima panggilan daripada isteri memaklumkan perkara itu.

“Isteri memaklumkan Naza Ria terbabit melanggar batang paip dan Proton Satria milik anak kami yang diparkir di luar rumah, malah kejadian sama turut menyebabkan sebahagian tembok pagar rosak.

“Saya sempat melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melalui telefon bimbit dan daripada video terbabit, saya mendapat gambaran bagaimana kemalangan itu berlaku,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bakar berkata, berikutan kejadian itu, dia mengeluarkan belanja lebih besar bagi membaiki dan mengecat pagar rumahnya.

Disiarkan pada: June 24, 2016 @ 10:36am
d