mutakhir

Rahmat Ramadan

Oleh Sabaruddin Abd Ghani

Baling: Kedatangan Ramadan kali ini memberi rahmat buat tiga beradik yatim apabila diterima menjadi penghuni Rumah Anak Yatim/Miskin Pertubuhan Sinar Kasih Darul Aitam Kampung Kuala Samak, Kuala Ketil, di sini.

Sebelum ini tiga beradik terbabit yang kematian bapa manakala ibunya, Marwati Mohd Nazar, 40, menghadapi masalah kemurungan berikutan tekanan hidup tinggal di Flat Paya Nahu Sungai Petani.

Bagaimanapun, rumah kebajikan terbabit yang bersimpati dengan tiga kanak-kanak daripada 11 adik beradik itu bersetuju menjaga mereka bagi meringankan beban ibu tunggal itu.

Majibur Naim Shahrul, 9, berkata, dia tidak menyangka menjadi penghuni rumah kebajikan kerana selama ini tiada pihak mengambil tahu keadaan kehidupan mereka sekeluarga.

“Paling menggembirakan saya dan adik (Faathir Hakim Sharul, 8) yang selama ini tidak pernah bersekolah kerana masalah kewangan berpeluang belajar di sekolah selepas diterima masuk ke Sekolah Kebangsaan Kuala Samak,” katanya.

Abang mereka, Muhammad Aiman Yasin, 14, pernah bersekolah setakat tahun empat saja dan pengurusan rumah kebajikan berkenaan akan berusaha mendidiknya di samping menghantar belajar dalam bidang kemahiran.

Difahamkan, Marwati cuma bergantung kepada bantuan zakat RM500 sebulan untuk menyara anak manakala arwah suami, Shahrul Abdul Rahman pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Sementara itu, penyelia rumah kebajikan itu, Mohd Rosli Yahya, 42, berkata, atas dasar peri kemanusiaan dan tuntutan agama, dia berusaha menjadikan rumahnya sebagai pusat jagaan anak yatim supaya mereka mempunyai tempat bergantung.

Disiarkan pada: June 25, 2016 @ 7:04am
d