mutakhir

Selami derita pelajar

Oleh Rokaid Chik

Pasir Puteh: Ramadan tahun ini memberi peluang kepada pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa di sini, untuk menyelami penderitaan dan kesusahan pelajarnya yang miskin.

Menerusi Program Ziarah Ramadan, kumpulan pengurusan diketuai Pengetuanya Mohd Zawawi Ali melawat 10 keluarga pelajar miskin dan menyampaikan bantuan, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mengumpul dana daripada guru dan pelajar lain yang berkemampuan untuk membeli barang keperluan untuk disedekahkan kepada mereka.

“Program ini anjuran Panitia Sivik dan Kewarganegaraan, Unit Kebajikan serta Unit Bimbingan Kaunseling sekolah yang mana kami menyampaikan sumbangan barang keperluan untuk kegunaan mereka sepanjang Ramadan ini.

“Ini susulan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) digerakkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk kami mendekati keluarga pelajar miskin.

“Terdapat lebih 10 keluarga miskin yang anaknya belajar di SMK Bukit Jawa dan mereka semua didekati,” katanya.

Beliau terharu dengan inisiatif ditunjukkan warga sekolah yang mengumpul dana bagi membeli sumbangan berkenaan.

Selain itu, wang tunai RM200 turut diagihkan kepada penerima.

Disiarkan pada: June 25, 2016 @ 7:09am
d