mutakhir

'Kini dia dijemput Ilahi'

Oleh Khairul Najib Asarullah Khan

Rembau: “Sejak suami meninggal dunia dalam kemalangan pada Februari lalu, arwah (anak) adalah individu yang paling mengambil berat dalam semua perkara.

“Kini dia dijemput Ilahi, sama seperti arwah bapanya yang terbabit dalam kemalangan,” kata Minah A Ghani, 72, ibu kepada wartawan Berita Harian (BH), Mohd Hamizar Abd Hamid, 43 yang maut dalam kemalangan di Persiaran Barat, Putrajaya, kelmarin.

Dalam kejadian 7.30 malam, Mohd Hamizar menunggang motosikal Yamaha LC135 untuk pulang ke rumahnya di Putrajaya dari Kuala Lumpur.

Anak ketiga daripada empat beradik itu disahkan meninggal dunia jam 8.10 malam sewaktu dirawat di Hospital Putrajaya.

Minah berkata, pada Februari lalu, arwah suaminya, Abdul Hamid Md Yasin, 75, meninggal dunia sejurus terbabit dalam kemalangan kereta di Tampin, dekat sini.

“Sebaik tahu bapanya meninggal dunia, arwah (Hamizar) yang paling sibuk menguruskan majlis pengebumian.

“Sejak daripada itu, Hamizar sering menelefon mak cik untuk bertanya khabar. Kini dia juga meninggal dunia dan kami sekeluarga bersedih atas pemergian kedua-duanya,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Baru Chengkau Ulu, semalam.

Menurut Minah, kali terakhir dia bertemu arwah adalah pada 7 Jun lalu sebaik Mohd Hamizar pulang ke rumah untuk berbuka puasa bersama-sama.

Jelasnya, arwah meninggalkan seorang balu dan dua anak lelaki masing-masing berusia 12 dan 15 tahun.

Sementara itu, jenazah Allahyarham Mohd Hamizar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Chengkau Ulu, pada jam 2.45 petang.

Hadir sama Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM), Datuk Mustapa Omar dan Eksekutif Editor Pengeluaran BH, Rosli Safar.

Disiarkan pada: June 26, 2016 @ 5:21am
d