mutakhir

Masih belum terlambat

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Tiket bas ke beberapa destinasi ke utara, selatan dan pantai timur semenanjung sehingga sehari sebelum Aidilfitri masih boleh didapati di kaunter Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan, di sini.

Antara destinasi utama yang masih ada tiket ialah Alor Setar, Butterworth, Kuala Kangsar, Tanah Merah, Bahau, dan Segamat.

Tiket ke Alor Setar dijual pada harga antara RM43 hingga RM51, RM34.10 hingga RM36 (Butterworth), RM26.20 (Kuala Kangsar), RM44 hingga RM44.10 (Tanah Merah), Bahau (RM10.40) dan RM18.40 hingga RM19 (Segamat).

Bagaimanapun, tiket mungkin kehabisan bila-bila masa bergantung kepada bilangan mereka yang membeli dalam tempoh terdekat.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati kaunter tiket TBS dipenuhi orang ramai yang sebahagiannya berbaris panjang untuk membeli tiket pulang ke kampung halaman masing-masing.

Suri rumah Kasmawati Muhammad, 49, yang membeli tiket untuk pulang berhari raya di Batu Gajah, Perak pada hujung minggu ini berkata, biasanya dia sekeluarga pulang ke kampung menaiki kereta api, tetapi memilih pengangkutan bas kali ini.

“Saya sangkakan harga tiket akan naik kerana permintaan tinggi ketika ini, tetapi ia sama saja seperti harga sebelumnya,” katanya.

Kakitangan swasta Zainudin Ahmad, 51, dari Cheras baru membeli tiket bas pagi ini (semalam) kerana sibuk dengan urusan kerja.

Menurutnya, dia biasa membeli tiket pada saat akhir setiap tahun dan kebiasaannya, tiket ke destinasi yang bakal dituju masih banyak dijual hingga beberapa hari sebelum Aidilfitri.

“Saya tidak sempat beli tiket di TBS pada hari biasa kerana kerja dan menggunakan kesempatan hari ini (semalam) untuk membeli tiket pulang ke kampung.

“Alhamdulillah, tiket masih ada dan harga juga tidak cekik darah,” katanya.

Penuntut Diploma Pengimejan Diagnostik KPJ Healthcare University College (KPJUC) Nur Adybanjawa Azhar, 20, berkata, dia sering membeli tiket bas untuk pulang ke kampung sempena cuti Aidilfitri pada saat akhir.

“Saya memang selalu membeli tiket pada waktu begini (seminggu sebelum Aidilfitri) dan biasanya tiket ada lagi.

“Bukan tidak mahu membeli lebih awal cuma bimbang ada perubahan jadual kelas pada saat akhir,” katanya yang akan pulang beraya di Ipoh, Perak.

Disiarkan pada: June 27, 2016 @ 5:17am
d