mutakhir

'Ibu sempit duit'

Oleh Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: “Ibu minta adik guna kasut raya tahun lepas kerana mahu jimat duit,” kata Siti Suhana Rosli, 7, seorang daripada 100 kanak-kanak yang terpilih untuk dibawa membeli-belah sempena Program Tautan Kasih Menjelang Aidilfitri anjuran UMNO Pasir Gudang dan Wanita UMNO Bahagian Pasir Gudang di Mydin Mall di Masai di sini, kelmarin.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia gembira apabila berpeluang untuk membeli-belah termasuk mendapatkan kasut pilihan kerana ibunya, Rohayu Ahmad, 30-an, yang bekerja sebagai penyelia kilang meminta mereka adik-beradik menggunakan kasut lama untuk berjimat.

Bagaimanapun, menurut Siti Suhana, dia faham keadaan ibunya yang berstatus ibu tunggal selain perlu memikul tanggungjawab menyara tiga anak.

“Seronok hingga tak tahu nak pilih kasut. Saya tak sabar mahu memakainya pada Aidilfitri nanti,” katanya.

Hadir menyempurnakan majlis adalah Ahli Parlimen Pasir Gudang Normala Abd Samad.

Sementara itu, Normala berkata, program berkenaan menyaksikan kanak-kanak dan ibu mereka yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan menerima pelbagai bantuan Aidilfitri dengan jumlah keseluruhan RM47,000.

Menurutnya, selain membeli-belah, kanak-kanak berkenaan juga menerima duit raya RM100 setiap seorang selain ibu mereka pula menerima sumbangan kain serta kuih-muih selain diraikan dengan majlis berbuka puasa.

“Program ini mendapat kerjasama Chemical Company Of Malaysia (CCM), Bank Rakyat dan agensi lain.

“Kami menugaskan 25 ahli wanita UMNO sebagai ibu angkat kepada kanak-kanak berkenaan ketika sesi beli-belah bertujuan memupuk sikap mesra dan penyayang antara kedua-dua pihak,” katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2016 @ 5:23am
d