mutakhir

Tadah RM200 sejam

Oleh Syahid Sokri

Alor Setar: Seorang ibu kepada tiga anak masih tidak serik apabila meneruskan aktiviti mengemis dengan alasan mencari sesuap nasi untuk menyara keluarga walaupun pernah ditahan dan diberi amaran oleh pihak berkuasa sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, aksi wanita dikenali sebagai Yati, 31, yang menggunakan anak perempuannya berusia dua tahun sebagai taktik meraih simpati orang ramai itu berakhir apabila ditahan dalam Operasi Tadah di bazar Ramadan Taman Wira, Mergong, di sini, kelmarin.

Hasil siasatan awal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Setar turut mendapati wanita terbabit menjadikan aktiviti meraih simpati berkenaan sebagai rutin untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat suaminya baru dibebaskan dari penjara akibat penyalahgunaan dadah.

Yati berkata, dia akan membawa anak kecilnya untuk mengemis dan menunggu di hadapan pintu bank berkenaan serta mampu memperoleh sekitar RM200 dalam tempoh sejam ketika Ramadan ini disebabkan orang ramai mudah bersimpati dengan keadaan mereka berdua.

Menurutnya, semua wang hasil mengemis berkenaan digunakan sebagai kegunaan harian kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap, selain suaminya baru dibebaskan dari penjara.

Katanya, walaupun dua anak lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia empat dan lima tahun yang dijaga ibu mentua menerima bantuan daripada JKM, ia masih tidak mencukupi menyebabkan dia perlu berusaha mencari wang untuk mereka.

“Selalunya saya membawa tabung yang ditampal kertas dan ditulis dengan masalah yang dihadapi sebagai modal bagi meraih simpati orang ramai,” katanya yang turut diselamatkan kakitangan JKM dalam operasi itu, di sini.

Ketika diperiksa, kakitangan JKM Kota Setar mendapati wanita berkenaan memiliki lebih RM200 dipercayai hasil mengemis.

Wanita itu mendakwa dia sudah biasa mengemis sejak lebih setahun lalu dan mampu memperoleh sekitar RM250 jika mengemis bermula dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam sambil mendukung anaknya yang masih kecil di hadapan pintu bank di bandar raya ini.

“Pada saya lebih mudah membawa anak berusia dua tahun ini bersama kerana orang ramai selalu kasihankan mereka.

“Berkat anak saya membuka rezeki dan peluang kepada saya untuk mendapatkan keuntungan lebih tambahan lagi menjelang Ramadan.

“Selain mengemis, saya turut berniaga kacang dan kerepek yang dibeli di Pekan Cina lalu dipekkan dalam saiz kecil untuk dijual kepada orang ramai,” katanya.

Sementara itu Pegawai JKM Daerah Kota Setar, Shahrul Nasir Mat Rais berkata, wanita terbabit adalah antara lima individu yang diselamatkan berusia antara dua hingga 56 tahun dalam Operasi Tadah Daerah Kota Setar 2015 (Ops Tadah) di lima lokasi, di sini.

Menurutnya operasi berkenaan dijalankan di bazar Ramadan iaitu di Stadium Darul Aman, Simpang Kuala, Taman Nuri, Pasar Besar Alor Setar dan Taman Wira Mergong dengan kerjasama daripada JKM Kedah, Jabatan Zakat Negeri Kedah, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah.

Disiarkan pada: June 28, 2016 @ 9:46am
d