mutakhir

Pen Emas: Aidilfitri uji kreativiti iklan menyentuh emosi!

Oleh Adam Salleh

“Kenapa baru hari ini nak minta maaf. Aku satu mak, melahirkan kau, kau boleh buat. Aku tak boleh cakap,” rintih seorang ibu tua berkerusi roda. Dengan nada sebak, ibu bernama Rahamah Sabtu itu teresak-esak menempelak anak lelakinya itu, “Aku bukan minta wang ringgit kau.” Tergamam anak lelakinya itu lalu kedua-dua beranak itu bertangisan hinggakan Huda Ali selaku pengacara turut mengalirkan air mata.

Adegan syahdu itu bukan dalam filem atau iklan, cuma program televisyen Mencari Kedamaian dari Singapura. Klip video kisah Fahdil yang berpatah arang dengan ibunya selama empat tahun antara yang menarik dikongsi sesama group Whatsapps selang seminggu selepas Ramadan.

Naluri seorang ibu, walau hati terluka tetapi jika si anak melutut memohon maaf, segala yang berbuku di sanubari boleh dilupakan secara lapang dada. Bersandarkan tangline Berdamai Boleh Mencetuskan Perubahan! Perubahan Membawa Persefahaman, misi murni program Mencari Kedamaian yang berdurasi 6:57 itu boleh dilayari di YouTube dengan tajuk Iklan Raya - Mencari Kedamaian (Ibu & Anak).

Ramadan sebagaimana kita maklum bulan kesabaran, bulan sarat ganjaran. Aidilfitri pula bukan sekadar merai kemenangan sesudah sebulan berpuasa tetapi detik menguji kreativiti siapakah di antara pengkarya yang sarat dengan idea boleh menyentuh emosi penonton.

Kalangan pengarang akhbar dan majalah terutama hiburan tidak terkecuali, sesi fotografi bersama artis jika tidak kreatif bahan disajikan hanya syok sendiri. Tiada eksklusif kelak pembaca menjadi jelak dan implikasinya tiada siapa mahu membeli akhbar dan majalah itu.

Pengalaman penulis menjadi wartawan hiburan dan pengarang hiburan dulu mengajar untuk membeli pelbagai majalah dan akhbar mingguan semata-mata mahu melihat apa bahan disajikan oleh pengarang berkenaan bagi menggelak bahan kita tidak keciciran zaman.

Sekadar berkongsi memori, suatu ketika Arkib Negara membawa isteri pertama P Ramlee (Tan Sri) iaitu Junaidah ke sesi diskusi di Kuala Lumpur, atas inisiatif penulis dan Marko (jurugambar), kami ‘kidnap’ Junaidah lalu membawanya bergambar di Jalan P Ramlee (Jalan Parry).

Ini pun satu inisiatif sekadar menguji kreativiti, tidaklah gambar dan cerita disajikan pada pembaca cerita sama. Berbaki tujuh hari lagi Aidilfitri bakal menjelma dan beberapa iklan raya dan drama pendek sudah berlegar di media sosial.

Dulu iklan raya begini kita hanya berpeluang menontonnya di televisyen dua tiga hari sebelum hari raya, berbeza sekarang media sosial menjadi platform lebih mesra penonton.

Berpatah arang terhadap ibu turut menjadi tunjang cerita Gagang Merah karya Ramdan Misnon. Drama pendek terbitan Kayangan Production hasil idea asal Fazril Haikal mengisahkan seorang adik lelaki jenuh memujuk abangnya pulang menemui ibu yang uzur. Sikap keras kepala abangnya (pemotong ayam di pasar) akhirnya luntur tetapi malang kepulangannya ke kampung adik dan ibunya sudah menjadi arwah.

Si abang mencium tangan ibunya, namun hanyalah khayalan. Mesejnya jelas dengan tagline Pulang Ke Gagang, Sementara Ada Waktu. Iklan raya Mydin dengan hashtag SelaluDiHati turut menyentuh kalbu dengan menyingkap gelodak ibu begitu merindui suami dan anaknya, Ajib

Si ibu (lakonan Juhara Ayob) beria-ria membangunkan keluarganya bersahur akhir Ramadan, ke pasar, menyiapkan juadah Aidilfitri.

Tiba di pagi hari raya, sewaktu anak sulongnya mencium tangan ibu dia binggung mengapa ibunya membuat persiapan seolah-olah ayah dan adiknya turut bersama meraikan Aidilfitri, walhal kedua-dua beranak itu sudah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Banyak iklan raya dan drama pendek raya belayar di media sosial antaranya Kisah Benar Zika/Berikan Masa (Astro), Sarikatahati (Maxis), LepasTu (TNB), Bahulu Emak dan tidak kurang yang menyentuh emosi dari TM kisah hati luhur seorang gadis mengutip sisa makanan.

Natijahnya, penulis menilai Mencari Kedamaian terbaik kerana ia dihasilkan secara spontan. Ia bukanlah iklan atau drama pendek yang lazimnya dilakonkan menghasilkan produk itu, sebaliknya Mencari Kedamaian realiti kehidupan yang mencari orang awam secara rawak.

Di sisi lain dalam pelbagai iklan dan drama pendek mengaitkan raya, penamat cerita si anak akan mohon maaf lalu mencium tangan ibunya. Namun tidak pernah lagi, diperlihatkan seorang anak mencium kaki ibunya memohon maaf. Faham sajalah pelakon mana sanggup mencium kaki pelakon lain tetapi sudah namanya pelakon tiada masalah dan adegan mencium kaki ibu itu biasa dilihat dalam filem Hindi dan Tamil.

Impak mencium kaki ibu sendiri untuk memohon maaf itu besar ganjarannya. Sejak kanak-kanak kita semua sudah diberitahu syurga itu di bawah kaki ibu, tetapi selama kita hidup apakah pernah kita mencium kaki ibu kita. Berbeza untuk isteri, kita cium segala-galanya.

Penulis ialah Pengarang Rencana Metro Ahad

Disiarkan pada: June 29, 2016 @ 8:15am
d