mutakhir

Ribut ragut ria raya

Oleh Nor Amalina Alias

Bachok: Umat Islam bakal menyambut Syawal seminggu lagi namun dua keluarga di Kampung Perupok Tengah dan Kampung Kubang Golok, di sini diuji dengan dugaan berat apabila kediaman mereka rosak teruk akibat ribut, kelmarin.

Kerosakan menyebabkan kerugian antara RM9,000 hingga RM12,000 dan mereka buntu bagaimana mahu mendapatkan dana untuk baik pulih rumah.

Nelayan, Abdul Fatah Yahya berkata, dia tidak berharta dan rumah di Kampung Perupok Tengah itu sebelum ini jarang dibaiki apabila rosak.

“Sekarang selepas dihempap pokok kelapa setinggi 20 meter, rumah ini ranap dan saya tidak tahu mana lagi mahu mendapatkan duit untuk membaikinya.

“Mujurlah ketika kejadian jam 6.30 petang itu, saya sedang memukat bersama tiga cucu, Nik Mohd Aiman Faizal, 8, Nik Mohd Aizat, 6, dan Nik Mohd Amin, 2, serta tiada siapa yang cedera.

“Sebelum ribut, angin kencang secara tiba-tiba, semacam berpusar menyebabkan kami berlari mencari perlindungan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perupok Tengah, di sini, semalam.

Abdul Fatah berkata, rumah yang musnah itu adalah harta pusaka orang tua dan dikunjunginya hampir setiap hari kerana kediaman di Perumahan Nelayan Tok Bali, Pasir Puteh agak sempit untuk mereka 15 beranak.

“Saya memang bercadang membaik pulih rumah ini untuk menjadikannya lebih selesa diduduki bersama isteri Nor Aiha Jaafar, 50, serta anak dan hanya duit jualan ikan sahaja tampung kami,” katanya.

Bagi seorang lagi mangsa, Mahya@Mariem Yusoff, 58 pula kerugian RM9,000 apabila bumbung rumahnya di Kampung Kubang Golok, di sini diterbangkan angin dalam kejadian ribut itu.

Katanya, dia hanya mampu melaungkan azan sebaik melihat awan hitam dan puting beliung melanda kediamannya yang bersambung dengan kedai menjual masakan panas dan mi celup.

“Saya baru saja bercadang memulakan perniagaan selepas dua minggu tutup di bulan Ramadan, baru nak mencari rezeki lebih tapi bencana ini pula datang,” katanya.

Disiarkan pada: June 29, 2016 @ 9:28am
d