mutakhir

Masih ada yang kisah

Oleh Nursyahirah Marzuki

Sepang: “Alhamdulillah, masih ada yang prihatin menyalurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan, terima kasih kepada pihak Affin Islamic Bank dan Harian Metro kerana memberi senyuman kepada kami semua,” kata Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Baitul Barokah Wal Mahabah (PKBBWM) Norlida Rasidi.

Pihak PKBBWM semalam menerima kunjungan Harian Metro dan wakil Affin Islamic Bank yang membawa lapan Kotak Rezeki mengandungi barang keperluan seperti beras, minyak masak, gula pasir, tepung, susu pekat manis, sardin dan bihun.

Selain itu, sumbangan wang tunai diberikan kepada pertubuhan berkenaan.

Norlida berkata, sumbangan diterima begitu besar buat penghuni (PKBBWM) yang dijadikan pusat pengajian berkonsepkan kebajikan dan mempunyai 90 pelajar terdiri daripada anak yatim, asnaf zakat serta pelajar tahfiz.

“Kecil atau besar sumbangan diberikan kami terima dengan hati terbuka dan
Allah saja dapat membalas jasa baik semua pihak yang sudi memberi hadiah istimewa kepada kami semua,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan #HMKotakRezeki 2016, di sini.

Majlis turut disertai Eksekutif Kanan Pengurusan Zakat Bahagian Penyeliaan Shariah Affin Islamic Bank Helmi Afizal Zainal, Pengurus Cawangan (Perkhidmatan) Affin Islamic Bank Cawangan Fraser, Kuala Lumpur Farahaidah Bahruddin dan Ketua Biro Harian Metro Putrajaya Hayati Ibrahim.

Sementara itu, satu lagi rumah kebajikan dipilih menerima sumbangan iaitu Rumah Jagaan Orang Tua Al Ikhlas di Pulau Meranti, Cyberjaya yang mempunyai 45 penghuni terdiri daripada warga emas.

Ada antara warga emas tinggal di situ terlantar akibat sakit dan memerlukan rawatan khas, terkena serangan angin ahmar dan sakit mental.

Pengurus rumah berkenaan, Linda Mohamad, 33, berkata, sumbangan Harian Metro, Affin Islamic Bank dan penaja lain mampu meringankan beban pihaknya.

Turut hadir dalam penyerahan itu, Pengurus Cawangan (Perkhidmatan) Affin Bank Cawangan Nilai Zainal Abidin Sarat.

PKBBWM dan Rumah Jagaan Orang Tua Al-Ikhlas, masing-masing menerima lapan Kotak Rezeki dan sumbangan wang tunai.

Program ini mendapat kerjasama Affin Bank dan Affin Islamic Bank sebagai penaja utama dan penaja lain seperti Wah Chan Consolidated, Comfort, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Yeo’s, Tupperware Brands Sdn Bhd serta rakan kurier Pos Laju.

Disiarkan pada: June 29, 2016 @ 10:33am
d