mutakhir

RM500 tadah tangan 3 jam

Oleh Nazdy Harun

Kuala Terengganu: “Hanya tiga jam tadah tangan, saya mampu raih sehingga RM500 dan ia tidak termasuk tabung digunakan oleh enam lagi rakan sekampung yang turut melakukan aktiviti sama di Bazar Ramadan di daerah ini,” kata pengemis dikenali sebagai Osman, 17, selepas dia ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Terengganu, semalam.

Dia yang berasal dari Narathiwat, Thailand berkata, mendakwa dibawa oleh seorang lelaki bergelar ustaz ke Terengganu sejak seminggu lalu dan menetap di sebuah rumah di Gong Badak.

Menurutnya, dia ke negeri itu bersama enam lagi rakannya dan setiap hari kira-kira jam 3 petang akan dihantar ke Bazar Ramadan dan dibekalkan sebuah tabung tertera sumbangan derma kepada sebuah madrasah di Thailand.

“Berbekalkan RM50 saya ke negeri ini dengan hanya menggunakan pasport sempadan tetapi nasib tidak menyebelahi saya apabila ditahan ketika meminta derma di Bazar Ramadan Kuala Ibai ini.

“Wang yang diperoleh setiap hari akan diserahkan kepada ustaz dan saya difahamkan hanya akan dibayar tambang untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri nanti,” katanya.

Menurutnya, sejak seminggu lalu dia ditugaskan di Bazar Ramadan Kuala Ibai dan apabila pulang wang diperoleh akan diserahkan kepada ustaz namun dia tidak tahu ke mana wang itu disalurkan.

Katanya, ustaz beritahu wang itu untuk disumbangkan kepada madrasah di negaranya dan rakan lain juga mampu memperoleh sumbangan seperti yang dia peroleh setiap hari.

“Masyarakat di sini amat pemurah dan sanggup menghulurkan sumbangan yang banyak namun pengalaman ditahan ketika memungut derma amat menginsafkan saya.

“Saya difahamkan aktiviti memungut derma yang saya lakukan ini adalah salah kerana tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan di negara ini,” katanya.

Seorang lagi pengemis yang ditahan dalam operasi itu yang hanya dikenali sebagai Maslin, 43, berkata, desakan hidup menyebabkannya memilih untuk mengemis di hadapan sebuah bank.

“Saya sebenarnya bekerja di sebuah kedai makan di daerah ini namun pada bulan Ramadan kedai berkenaan ditutup dan saya memilih untuk mengemis bagi mendapatkan wang mudah.

“Pulangannya amat lumayan dalam tempoh 30 minit saya mampu memperoleh RM50 namun perbuatan itu tidak berbaloi kerana ditahan penguat kuasa yang melakukan operasi,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Terengganu Zainal Omar berkata, dalam operasi itu tiga individu ditahan di hadapan sebuah bank di Jalan Sultan Ismail, Bazar Ramadan Shahbandar dan Bazar Ramadan Kuala Ibai.

“Operasi membabitkan kawasan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus disertai lebih 30 orang dari pelbagai agensi antaranya Jabatan Imigresen Terengganu (JIT), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2016 @ 10:27am
d