mutakhir

Mencari Lailatulqadar

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Seremban: Pertama kali menjalani ibadat puasa sempena Ramadan, saudara baru, Muhammad Sufi Sufian Abdullah, 25, ceria kerana bulan ini paling dinantikan sejak memeluk Islam Februari lalu.

Menurutnya, ketibaan Ramadan waktu dinantikan kerana amalan memperoleh pahala berlipat kali ganda.

“Sememangnya kita perlu menahan lapar dan dahaga namun apabila memikirkan ganjaran di sebalik ibadat ini, pastinya saya inginkan Ramadan terus berpanjangan.

“Saya paling tidak sabar menantikan malam Lailatulqadar yang mempunyai pelbagai keistimewaan dan saya harap bertuah dalam melaluinya nanti.

“Alhamdulillah, sehingga kini saya berpuasa penuh dan bersyukur melaluinya tanpa sebarang halangan,” katanya ketika ditemui di pekan ini, semalam.

Muhammad Sufi berkata, Syawal bakal menjelang tidak lama lagi dan dia akan menyambut hari lebaran itu di rumah seorang ustaz.

“Saya membeli dua jubah untuk dipakai pada hari raya pertama. Ia sesuatu yang menggembirakan kerana kali pertama meraikan Aidilfitri.

“Saat itu dinantikan kerana sebelum ini saya hanya melihat umat Islam meraikannya,” katanya.

Berkongsi kisah memeluk Islam, Sufi berkata, dia mula meminati Islam sejak di bangku sekolah namun selepas tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dia mula menjauhkan diri dengan agama itu.

“Saya mula merindui semula Islam selepas ibu saya meninggal dunia 2 April tahun lalu yang ketika itu, saya menjalankan perniagaan mengeksport buah-buahan tempatan ke Singapura.

“Pendapatan perniagaan ketika itu lumayan namun segala-galanya berubah apabila ibu meninggal dunia. Ini kerana ibu insan paling rapat dengan saya.

“Selepas pemergiannya, perniagaan saya mula dilanda masalah dan terpaksa ditutup,” katanya.

“Saya memutuskan memeluk Islam kerana setiap kali solat pasti hati tenang dan kekusutan yang melanda seakan-akan hilang,” katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2016 @ 10:43am
d