mutakhir

Naik bas percuma

Oleh Omar Osman

Sungai Petani: Lebih 300 anak Kedah yang menuntut di beberapa universiti awam (UA) di Lembah Klang gembira apabila dapat pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga melalui perkhidmatan bas percuma yang disediakan kerajaan negeri.

Semua pelajar terbabit menaiki lapan bas sewa khas dari ibu negara dan tiba di Dataran Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dengan disambut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain, jam 3.30 pagi semalam.

Tajul Urus berkata, pelajar terbabit sebahagian daripada 500 anak Kedah yang menuntut di beberapa universiti awam di Lembah Klang dengan mereka dibawa pulang ke kampung halaman secara percuma menggunakan bas disediakan kerajaan negeri sempena Aidilfitri.

Menurutnya, semua bas sewa khas itu disediakan melalui inisiatif Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) Anak Muda dengan kerjasama Persatuan Siswa Aman Makmur (ANSAR) bagi menunaikan janji Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

“Kita anggar 17,000 anak Kedah belajar di universiti awam di seluruh negara terutama di Lembah Klang namun sebahagian besar pulang sendiri dan hanya 500 pelajar pulang menggunakan 15 bas disediakan.

“Perkhidmatan bas percuma ini bertujuan meringankan beban keluarga mereka selain memudahkan pelajar pulang berhari raya di kampung tanpa perlu bersusah-payah mendapatkan tiket bas.

“Urusan membawa pulang ini diatur wakil ANSAR di setiap universiti dan kepulangan pelajar ini dibuat secara berperingkat mengikut tarikh serta waktu ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar pada Program Muafakat Soq Mahasiswa Kedah 2016, di sini.

Sementara itu, pelajar jurusan Sains Komputer Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Nurul Iffah Roslan, 25, dari Taman Dahlia, Alor Setar, berkata, dia bersyukur kerana perkhidmatan bas percuma dapat meringankan beban keluarga, sekali gus tidak perlu bersusah-payah mendapatkan tiket bas untuk pulang.

“Pada mulanya, saya dan beberapa rakan mahu membeli tiket bas, tetapi apabila dimaklumkan ada bas percuma untuk anak Kedah pulang menyambut hari raya, saya terus mendaftar. Terima kasih kepada kerajaan negeri dan program ini wajar diteruskan pada masa depan bagi membantu anak Kedah,” katanya.

Bagi Nur Adilah Zahari, 25, dari Taman Murni, Bedong, berkata, dia ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk membeli tiket bas dua hari lalu namun tiket habis sebelum dimaklumkan rakannya mengenai khidmat bas percuma berkenaan.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kerana dapat pulang ke kampung dengan bas disediakan oleh kerajaan negeri. Kalau tidak ada khidmat bas ini mungkin saya tmencari alternatif lain untuk pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2016 @ 10:53am
d