mutakhir

Baju Melayu hadiah cekal berpuasa

Melaka: Seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit perut menggeleber sejak lahir teruja ketika diberikan peluang memilih baju raya bersama rakan lain.

Mohd Ramadhani Abdullah, 9, murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Krubong di sini, berkata, dia mahu menggunakan kesempatan diberikan bagi membeli sepasang baju Melayu untuk dipakai pada pagi 1 Syawal nanti.

“Walaupun ada masalah kesihatan, saya amat menantikan kedatangan Ramadan dan tidak mahu lepaskan peluang untuk berpuasa bersama rakan lain.

“Saya menganggap baju raya ini sebagai hadiah untuk diri sendiri kerana berpuasa. Selain itu, saya seronok kerana diberikan peluang mencuba pakaian yang sesuai untuk dibeli,” katanya.

Mohd Ramadhani antara kanak-kanak dipilih menyertai Program Technology Park Malaysia (TPM) Berkongsi Kegembiraan Raya Dengan 40 Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik di Pasaraya Mydin Ayer Keroh di sini, semalam.

Program yang bermula sekitar jam 11 pagi itu turut disertai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah selain Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TPM Datuk Mohd Azman Shahidin.

Sementara itu, Mohd Azman berkata berkata, setiap kanak-kanak diberikan baucar bernilai RM150 bagi memilih pakaian untuk digayakan pada Aidilfitri.

Disiarkan pada: July 1, 2016 @ 7:02am
d