mutakhir

Akmal seronok bertemu idola

Kuala Lumpur: Hasrat seorang kanak-kanak menghidap kanser tulang rawan tahap empat untuk bertemu penyanyi popular yang juga idolanya, Faizal Tahir tercapai apabila penyanyi itu mengunjunginya di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, semalam.

Faizal yang tiba di Wad Pediatrik HKL pada jam 12.30 tengah hari meluangkan masa selama setengah jam bersama Akmal Hadi, 11, yang menghidap penyakit berkenaan sejak Februari lalu.

Dalam pertemuan itu, Faizal turut menyanyikan lagu popularnya, Assalamualaikum sambil bermain gitar bersama-sama dengan Akmal.

Apa yang menarik, Akmal turut menghafal lirik lagu berkenaan.

Akmal berkata, dia terkejut apabila penyanyi itu sanggup datang ke hospital selain diberi peluang menyanyikan lagu Assalamulaikum bersama-sama.

“Saya sangat seronok hari ini (semalam) kerana abang Faizal sanggup datang meluangkan masa bersama saya.

“Pertama kali mendengar lagu Assalamualaikum, saya terus jatuh cinta dan menghafalnya,” katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2016 @ 7:12am
d