mutakhir

Nafi 2 tuduhan

Oleh Hadzlihady Hassan

Georgetown: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di sini, semalam, atas dua pertuduhan berhubung kes rasuah dihadapinya.

Beliau membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membaca kedua-dua pertuduhan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azmi Ariffin.

Bagi pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri menerima suapan baginya dan isteri, Betty Chew, dengan meluluskan Pemohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Am di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada Magnificent Emblem Sdn Bhd ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 28, Bilik Gerakan Bangunan Komtar, Georgetown pada 18 Julai 2014.

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Guan Eng didakwa menerima barang berharga dengan balasan lot tanah dan sebuah rumah beralamat di No 25, Jalan Pinhorn, Georgetown daripada Phang Li Koon dengan RM2.8 juta dan nilai semasa hartanah itu adalah RM4.27 juta, sedangkan beliau mengetahui mempunyai hubungan kerja rasmi bersama Phang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah berkenaan pada 28 Julai 2015 dan bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Azmi kemudian menetapkan wang jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin selain turut memerintah Guan Eng tidak perlu menyerahkan pasport, namun dikehendaki memaklumkan kepada mahkamah dan pejabat Peguam Negara dua hari lebih awal sekiranya mahu ke luar negara.

Sementara itu, Phang yang juga ahli perniagaan turut mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 165 Kanun sama kerana dipercayai bersubahat dalam kedua-dua pertuduhan dihadapi Guan Eng.

Azmi menetapkan ikat jamin RM200,000 terhadap Phang dengan seorang penjamin tanpa syarat lain.

Pihak pendakwa diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bersama enam Timbalan Pendakwa Raya, manakala Guan Eng diwakili tujuh peguam diketuai Gobind Singh Deo dan Phang pula pula diwakili tiga peguam diketuai Datuk K Kumaraendran.

Mahkamah menetapkan 22 September sebagai tarikh untuk pengurusan kes.

Terdahulu, Guan Eng dilihat tiba di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang jam 10 pagi dengan menaiki van putih milik SPRM dan disambut 200 penyokongnya yang menunggu sejak jam 7 pagi.

Laungan ‘Bebas Guan Eng, Hidup Guan Eng’ jelas kedengaran di dalam serta luar kompleks mahkamah, namun keadaan terkawal sebelum beliau yang dikawal ketat polis dan SPRM diiring naik ke Mahkamah Sesyen.

Disiarkan pada: July 1, 2016 @ 7:14am
d